Terdapat lima nada sajak. Nada patriotik, nada melankolik, nada sinis, nada romantis, nada protes. Nada patriotik ialah nada yang paling mudah dikenal pasti oleh pelajar. Mudah sahaja, kerana penyajak menggunakan idea dan perasaan yang mencintai negara, menentang penjajahan atau menggambarkan kasih bangganya kepada kemajuan negara.
Nada sinis juga boleh dikenal apabila penyajak menyindir manusia atau mana-mana pihak dalam sesuatu isu tertentu. Jelasnya, penyajak berasa kurang puas hati terhadap mana-mana pihak tetapi tidak menggambarkan kemarahannya. Sebaliknya, unsur sindiran yang digunakan.
Nada protes pula dapat dikenal sekiranya penyajak berasa marah dan menggunakan kata-kata yang menggambarkan rasa geram dan berterus-terang terhadap sesuatu isu atau pihak.
Nada melankolik juga sering ditemukan kerana penyajak akan meluahkan rasa sedih, pilu dan hiba dalam keseluruhan sajak. Biasanya, berkaitan dengan isu kehilangan orang tersayang atau kecewa dalam percintaan serta sedih terhadap keadaan yang berlaku dalam masyarakat.
Nada romantis merupakan nada yang paling lazim kerana nada ini terdapat dalam kebanyakan sajak iaitu sajak-sajak berkaitan kehidupan harian, kisah silam atau pengamatan penyajak terhadap alam atau manusia. Oleh sebab itu, nada sajak romantis kurang ditanya dalam peperiksaan.