Mulai 2015, satu novel dipelajari iaitu Naratif Ogonshoto karya Dato' Anwar Ridhwan. Antologi teks moden (sajak, cerpen dan drama) ialah Kubentang Sebuah Peta. Teks tradisional pula ialah Nilai Insan.

Carian Blog Ini

Memaparkan catatan dengan label Nota Sajak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Nota Sajak. Papar semua catatan

Jumaat, 22 Januari 2010

Nada Sajak

Sering kali, pelajar beranggapan bahawa terdapat beberapa nada dalam sesebuah sajak. Misalnya, nada romantis pada rangkap pertama dan nada sinis pada rangkap kedua. Anggapan ini kurang tepat. Hal ini kerana hanya ada satu nada sahaja bagi sebuah sajak.

Terdapat lima nada sajak. Nada patriotik, nada melankolik, nada sinis, nada romantis, nada protes. Nada patriotik ialah nada yang paling mudah dikenal pasti oleh pelajar. Mudah sahaja, kerana penyajak menggunakan idea dan perasaan yang mencintai negara, menentang penjajahan atau menggambarkan kasih bangganya kepada kemajuan negara.

Nada sinis juga boleh dikenal apabila penyajak menyindir manusia atau mana-mana pihak dalam sesuatu isu tertentu. Jelasnya, penyajak berasa kurang puas hati terhadap mana-mana pihak tetapi tidak menggambarkan kemarahannya. Sebaliknya, unsur sindiran yang digunakan.

Nada protes pula dapat dikenal sekiranya penyajak berasa marah dan menggunakan kata-kata yang menggambarkan rasa geram dan berterus-terang terhadap sesuatu isu atau pihak.

Nada melankolik juga sering ditemukan kerana penyajak akan meluahkan rasa sedih, pilu dan hiba dalam keseluruhan sajak. Biasanya, berkaitan dengan isu kehilangan orang tersayang atau kecewa dalam percintaan serta sedih terhadap keadaan yang berlaku dalam masyarakat.

Nada romantis merupakan nada yang paling lazim kerana nada ini terdapat dalam kebanyakan sajak iaitu sajak-sajak berkaitan kehidupan harian, kisah silam atau pengamatan penyajak terhadap alam atau manusia. Oleh sebab itu, nada sajak romantis kurang ditanya dalam peperiksaan.

Rabu, 20 Januari 2010

Soalan Esei Sajak SPM 2009

Soalan esei sajak 2009 agak mengejutkan kerana tidak mengemukakan seluruh sajak tetapi hanya satu bahagian tertentu daripada sajak Pasir Salak karya Firdaus Abdullah.

Soalan yang ditanya ialah nada sajak (2 markah) , nilai kemanusiaan (8 markah) , maksud bahasa pengulangan dan tujuannya dalam sajak (4 markah) dan 3 contoh bahasa pengulangan. (6 markah).

Bagi soalan nada sajak, semestinya nada sajak ialah ialah nada patriotik. Kenapa? Sebab penyajak menyuarakan perasaan cinta kepada tanah air dan semangat menentang penjajah. Calon hanya perlu menjawab begini :
Nada sajak ialah nada patriotik. Hal ini kerana penyajak mencintai tanah air dan menyatakan rasa benci kepada penjajah dan menentang penjajah Inggeris.

Nilai kemanusiaan pula memerlukan calon memberi nilai yang terdapat dalam petikan serta contoh baris yang mengandungi nilai yang dinyatakan. Misalnya :
Salah satu nilai kemanusiaan dalam sajak ialah nilai keberanian. Contohnya, langkah pahlawan tak kenal gentar.
Selain itu, terdapat nilai bersemangat. Contohnya, korbankan semangat biar menyala.
Nilai perjuangan turut dikemukakan dalam sajak. Contohnya, rawana Inggeris hendak dicari.

Soalan ketiga meminta calon menyatakan maksud bahasa pengulangan. Oleh sebab pengemukaan soalan bukannya gaya bahasa atau keindahan, maka calon tidak perlu menyatakan istilah bagi bahasa pengulangan. Contoh jawapan ialah :
Bahasa pengulangan bermaksud pengulangan kata atau baris dalam baris yang sama atau baris berikutnya.
Manakala, tujuan penggunaan bahasa pengulangan ialah untuk memberi penegasan kepada isi sajak dan mengindahkan bahasa sajak.

Soalan keempat meminta contoh. Maka, calon hanya perlu mengenal pasti contoh daripada petikan dan menyalinnya. Jangan lupa garisi kata atau baris yang menunjukkan adanya pengulangan. Contoh:
Salah satu contoh bahasa pengulangan ialah, langkah pendekar langkah berisi. Selain itu, contohnya ialah hendak dipenggal hendak dikelar. Contoh yang ketiga ialah, Maharajalela, Maharajalela.

Jumaat, 23 Oktober 2009

Sajak Sebagai Puisi Moden

MENURUT Za’aba, puisi adalah karangan berangkap. Katanya, puisi tidak memakai perenggan seperti prosa. Rangkap puisi lama (puisi konvensional) terdiri daripada baris tetap dan seimbang. Manakala puisi moden (sajak) ternyata sudah melanggar ciri konvensional seperti mana yang terdapat pada pantun ataupun syair.

Sajak zaman awal masih mengekalkan sebahagian besar ciri puisi yang konvensional itu tetapi lama kelamaan sajak menjadi semakin bebas sehingga akhirnya lahir apa yang dinamakan sajak eksperimen (merujuk kepada sajak-sajak 3V (yang dipelopori oleh A. Ghafar Ibrahim), sajak suku kata, dan sajak konkrit). Walaupun sajak eksperimen sukar mendapat tempat di media massa, kemunculannya tetap mewarnai peta puisi tanah air.

Apa itu puisi / sajak? Soalan pendek ini tidak pernah mendapat jawapan yang pasti. Ada bermacam-macam tanggapan orang terhadap sajak itu sendiri. Menurut H.B. Jassin, "sajak adalah pengucapan dengan perasaan yang di dalamnya mengandungi fikiran dan tanggapan". Maksudnya, sajak adalah suara hati penyairnya. Sajak lahir daripada jiwa dan perasaan tetapi sajak yang baik bukan mainan kata semata-mata. Sajak yang baik membawa gagasan serta pemikiran yang dapat menjadi renungan masyarakat.

Kata Muhammad Haji Salleh pula, "sajak adalah bentuk sastera yang kental dengan muzik bahasa serta kebijaksanaan penyair dan tradisinya". Ini menjelaskan bahawa bahasa sajak itu indah dan merdu (apabila dideklamasikan). Seperti H.B. Jassin, Muhammad Haji Salleh tetap mempertahankan bahawa sajak yang baik adalah sajak yang indah bahasanya dan dapat memancarkan kebijaksanaan (tidak kosong atau bombastik).

Baha Zain pula menegaskan bahawa "sajak tidak berbicara segalanya dan tidak kepada semua." Maknanya, penyair (sebagai manusia yang sensitif) hanya akan menangkap sebahagian daripada fragmen kehidupan manusia ke atas kertas (menjadi sajak). Sajak pula tentunya tidak diminati semua orang atau lebih tepat lagi tidak difahami semua orang. Inilah yang dimaksudkan oleh Baha Zain dengan ungkapan sajak ditulis (dicipta) tidak kepada semua (orang). Malah, apabila kita mentafsir sesebuah sajak, kita mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk mentafsir sajak itu mengikut kefahaman kita sendiri (asalkan ada logik sasteranya). Ini sesuai pula dengan sifat bahasa sajak itu sendiri yang konotatif dan ambiguiti.

"Kata-kata terbaik dalam susunan yang terbaik" merupakan definisi sajak yang cukup popular. Ini adalah tanggapan Samuel Taylor Coleridge. Proses penting dalam penciptaan sajak adalah diksi (pemilihan kata). Daripada sejumlah kata yang banyak (kaya) itu, penyair hanya memilih yang terbaik (yang paling tepat dan cantik untuk mewakili perasaannya). Misalnya seorang penyair harus memilih sama ada untuk menggunakan perkataan angin, bayu, ribut, atau taufan. Konsep waktu dapat dipadankan dengan sejumlah kata lain seperti musim, ketika, detik, masa, tahun, dekad, kurun, abad, dan sebagainya. Penyair juga memilih sama ada hendak menggunakan perkataan nelayan atau warga laut, atau samudera atau segara. Inilah kekayaan bahasa yang perlu dijaring dengan teliti oleh penyair. Kata yang terbaik (terpilih) itu tidak akan berfungsi sekiranya tidak disusun dengan baik pula. Di sinilah letaknya taraf kepenyairan seseorang penulis. Susunan terbaik inilah sebenarnya yang melahirkan keindahan pada bahasa sajak itu. Perhatikan kalimat-kalimat puitis ini:

dan batu yang bijak itu tetap diam, kerana semakin tahu
rindu yang menajamkan deras hujan
di sini hanya ada kau, aku, dan Tuhan. Selebihnya ialah
kenangan
menyisir hutan yang tersembunyi
embun mengunjungi daun-daun
seberkas cahaya yang terpulas
temali kapal bersiutan gementar
malam yang kehilangan kaki langit
dunia adalah sebuah syurga yang hilang
langit berbaju kusam
hanyalah senoktah karang di batas pandang
belayar tanpa pantai
sampai di wilayah malam, sempadan kelam

Kalau kita perhatikan secara mendalam, makna susunan terbaik (seperti yang dinyatakan oleh Samuel Taylor Coleridge), membawa maksud mengutarakan isi yang baik (ada falsafah dan pemikirannya). Hanya dengan susunan kalimat yang terbaik, kita akan mendapat saranan/mesej/amanat yang terbaik.

Kesimpulannya H.B. Jassin, Muhammad Haji Salleh, Baha Zain dan Samuel Taylor Coleridge mempunyai sikap yang sama dalam menanggapi makna sajak. Mereka tetap mempertahankan bahawa sajak yang baik ialah sajak yang indah bahasanya dan sarat pula pemikirannya (falsafahnya).

Selain definisi puisi di atas, terdapat lagi beberapa tanggapan tentang sajak. Antaranya:
(a) William Woodworth: "Puisi adalah pernyataan perasaan yang imaginatif".
(cool.gif Dunton: "Puisi sebenarnya pemikiran manusia secara konkrit dan artistik dalam bahasa yang emosional dan berirama".
© Mathew Arnold: "Puisi adalah kritikan terhadap kehidupan di bawah peraturan yang teguh, iaitu kebenaran puitis dan keindahan puitis".
(d) Barbette Deutsh: "Puisi adalah seni yang menggunakan pengucapan dan lagu untuk menyingkap kenyataan yang dirakam oleh deria manusia, yang dihormati oleh perasaan, yang ditanggapi oleh akal, dan disusun oleh imaginasi yang membentuk".
(e) Robert Frost: "Puisi adalah satu persembahan dalam bentuk perkataan".

Dalam pada itu, Robert C. Pooley seperti mengingatkan bahawa "orang yang menutup telinga terhadap sajak akan terpencil daripada satu wilayah yang penuh harta kekayaan berupa pengertian tentang manusia". Itulah hakikat sajak.

Tanggapan di atas lebih merupakan tanggapan "orang luar" terhadap sajak. Bagaimana pula tanggapan penyair sendiri terhadap sajak?

Bagi Subagio Sastrowardoyo, sajak adalah suara di bawah sedar. Yang muncul di bawah sedar katanya mungkin sesuatu yang memalukan diri seolah-olah kita berdiri telanjang bulat di muka umum (orang ramai).

Abdul Hadi W.M. pula menjelaskan bahawa sajak ditulis untuk mencari kebenaran. Katanya lagi, "dalam sajak terdapat tanggapan terhadap hidup secara batiniah". Oleh itu bagi beliau, di dalam sajak harus ada gagasan dan keyakinan penyair terhadap kehidupan, atau lebih tepat lagi, nilai kemanusiaan.

Gerson Poyk pula mengatakan bahawa dunia ini sebenarnya absurd sehingga manusia tidak dapat mengerti akan dunia ini sepenuhnya dan tugas penyair tentunya berusaha menggali rahsia hidup yang penuh misteri ke dalam bait puisi (sajak) mereka.

Bagi Sitor Situmorang, "penyair tidak membuat (menulis) sesuatu daripada yang tiada. Sajak adalah jadi-jadian, lewat kemampuan menggunakan faktor budaya yang dicerap, dimiliki, dan dibina semula oleh penyair tersebut".

Saini KM pula menanggapi sajak (proses kreatif penulisan sajak itu) kira-kira begini:

sebelum tintamu menjadi darah
kata-kata akan tetap tinggal bunyi;
kebisingan lain di tengah-tengah hingar-bingar dunia

Itulah sajak – sekelompok warna kata dalam misteri makna. Tugas penyair hanya menulis. Tugas pengkritik adalah membedah sajak itu dengan pisau ilmunya dan tugas anda (sebagai calon peperiksaan) adalah memberi apa-apa yang diminta, bukan menghulur apa-apa yang ada (tahu). Banyak calon gagal menjawab dengan baik kerana mereka tidak menjawab seperti kehendak soalan tetapi menuangkan segalanya yang mereka tahu.

Kalau kita tanya sekali lagi, APA ITU SAJAK?, anda tentu sudah ada beberapa jawapan untuk soalan ini tetapi marilah kita padankan soalan ini dengan dua baris sajak Toto Sudarto Bachtiar ini, yang berbunyi:
terlalu hampir tetapi terlalu sepi
tertangkap sekali terlepas kembali

Itulah puisi (sajak) sebenarnya!