Mulai 2015, satu novel dipelajari iaitu Naratif Ogonshoto karya Dato' Anwar Ridhwan. Antologi teks moden (sajak, cerpen dan drama) ialah Kubentang Sebuah Peta. Teks tradisional pula ialah Nilai Insan.

Carian Blog Ini

Memaparkan catatan dengan label Latihan Cerpen. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Latihan Cerpen. Papar semua catatan

Sabtu, 23 Januari 2021

LATIHAN SOALAN STRUKTUR (CERPEN)

1.  Pak Yasok mengangkat muka dari meja kerja di depan jendela. Dia memandang sebuah kereta Kembara JFX995 yang membelok masuk ke halaman rumahnya. Siapakah yang ke mari dalam hujan-hujan begini? Berdetik di dalam hati kecil Pak Yasok. Kereta itu masuk ke halaman rumahnya. Enjin dimatikan dan seorang anak gadis dengan memikul beg sandang berlari ke beranda rumahnya. Dia termengah-mengah mengesat kepalanya yang basah dan sedikit lembap oleh rembesan hujan.

a)      Jelaskan unsur suspens  dalam petikan.  [2 markah]
b)      Huraikan dua teknik penceritaan/plot dalam petikan. [2 markah]


2.  Konflik ini hanyalah dalam diri saya. Tetapi saya rasa terpukul dengan kata-katamu. Benarkah saya ini hanya seorang rafik buatmu? Izinkan saya perjelaskan, saya tidak mampu lagi untuk menjadi sorang rafik tanpa sekeping hati. Perbincangan hangat kita tentang tentang Pedra Branca, memperjelas kedudukan hati saya pada naluri seorang rafik. Bagaimana mungkin saya menjadi seorang rafik lagi apabila hati saya ini telah dibawa pergi jauh ke jantung semenanjung.

a) Nyatakan dua sebab watak saya mengatakan dia tidak mampu menjadi seorang rafik lagi.  [2 markah]
b) Apakah maksud konflik? Nyatakan jenis konflik dalam petikan.  [2 markah]


3.  “Saya tidak berilmu, sebab itu saya mahu beramal walaupun sekecil-kecilnya amalan saya itu. Itu lebih baik daripada saya banyak berilmu tetapi tidak beramal.” Pemuda itu sedikit kesal mengeluarkan kata-katanya yang mungkin menyinggung profesor yang mahu mengajarnya itu. Walau bagaimanapun, profesor itu lebih kesal lagi. Dia datang beribu-ribu kilometernya untuk mengkaji. Sedang anak muda yang tidak berwibawa itu juga datang beribu-ribu kilometer jauhnya, hanya untuk beramal.

a)      Nyatakan satu perbezaan watak antara pemuda dan profesor.  [2 markah]
b)       Nyatakan satu pengajaran dalam petikan.   [2 markah]



4.  “Belum,” balas guru itu. “Belum ada kajian alam sekitar untuk projek itu. Aku tahu. Para kapitalis dari Turki, Jepun, dan Jerman itu berfikir mereka boleh berbuat sesuka hati di Ogonshoto asalkan mempunyai wang. Kelak, apabila kajian alam sekitar diumumkan, barulah mereka tahu. Mereka terpaksa keluar dari pedalaman Kuri, dari Ogonshoto ini tanpa menebang walau sebatang pokok pun di hutan kita ini.”

a)      Jelaskan satu nilai kemanusiaan dalam petikan.  [2 markah]
b)      Nyatakan satu mesej dalam petikan.   [2 markah]


5. Pernah kaukata, kes kami akan kaubawa ke meja seminar antarabangsa. Katamu, di situ akan kaukecam budaya hidup manusia moden yang suka mencemar dan membuang kotoran ke laut. Hendak engkau tentang penerokaan tanah hutan kerana tanah merah yang terhakis dari situ mengeruhkan biru laut. Hendak engkau tentang pembuangan najis ke laut yang busuknya setahun pelayaran. Kaumahu lanun-lanun yang mencuri karang-karang laut dari terumbu induk disumbat ke penjara seumur hidup mereka.


a) Nyatakan dua pengajaran dalam petikan.   [4 markah]
b) Nyatakan satu persoalan dalam petikan.    [2 markah]
c) Jelaskan dua nilai murni yang terdapat pada watak engkau.  [4 markah]
d) Jelaskan sudut pandangan dalam cerpen.  [4 markah]

6.    Sementara anak-anak muda juga dilantik mengganggotai lembaga masjid. “Ini untuk menjadi pelapis,” kata Pak Mid yang berpandangan jauh ke hadapan.

      Dan hari ini aku melihat kampungku cukup aman, maju dan bersepadu penduduknya. Tidak lagi kedengaran panggilan-panggilan menghina dalam kalangan masyarakatnya. Yang ada ialah perpaduan. Berat hatiku hendak meninggalkan kampung halamanku apabila aku lulus nanti.

a) Nyatakan dua latar masyarakat  dalam petikan.  [2 markah]
b) Nyatakan  dua mesej dalam petikan.   [2 markah]

7.  Malam itu Sharifah tidak tidur. Dia berniat untuk sedekahkan baju-baju yang baru siap itu kepada saudara-maranya di kampung. Dia akan hubungi Mak Lijah tukang jahit dan Mek Nab tukang masak mereka. Dia akan berpakaian seperti Mek Nab supaya masyarakat dapat dikaitkan dengannya. Kalau Abang Said meragam, malu berjalan dengannya selepas ini, dia akan berserah kepada takdir. Dia tidak boleh menggembirakan semua orang. Imej Abang Said harus dijaga agar jangan dikata orang lagi. Begitulah kasih seorang isteri.

a) Nyatakan satu perwatakan Sharifah berserta contoh.  [2 markah]
b) Nyatakan dua peranan Sharifah.   [2 markah]


8.    Aku tidak mahu tersilap lagi. Aku ingin memohon maaf pada Rosa. Aku sudah terbiasa dan terlatih untuk menjadi seorang yang berterus-terang. Aku punya amanah yang perlu disampaikan kepada setiap warga watanku. Aku hanya menyampaikan sesuatu yang benar. Lantas aku tidak pantas berkias dalam bicaraku. Sifat kewartawananku memilih fakta-fakta bila, di mana, siapa, mengapa, bagaimana dan apa dalam menyampaikan berita. Tidak cukup ruang untuk kuselitkan emosi buat penyedap cerita.

a)  Nyatakan dua nilai kemanusiaan dalam petikan.  [2 markah]
b)  Berikan dua perwatakan Aku.   [2 markah]


9.  Bagi Pak Mid, usaha dan doa kepada Allah adalah penting jika mahu berjaya dalam apa-apa jua yang dicita-citakan. Dia tidak mudah melatah dengan perli dan sindiran orang lain. Bagi dirinya, semua penduduk kampung ialah saudaranya. Oleh itu, dia tidak sedikit pun menaruh sangka buruk terhadap mereka. Dia terus bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dia sudah berjaya.

a) Nyatakan dua persoalan dalam petikan. [4 markah]
b) Nyatakan dua pengajaran.  [4 markah]


10. Sahat membayangkan setiap hari Bukit Emas bakal digondolkan untuk diniagakan tanah kuning dan batu-batannya. Sahat membayang keadaan setiap pokok durian, pokok rambutan, cempedak, dan langsat penduduk Kampung Kuah yang menghijau di Bukit Emas akan tumbang menyembah bumi. Selama ini pokok buah-buahan di Bukit Emas telah menjadi punca rezeki mereka dan menjadi pemikat orang luar termasuk pelancong berkunjung ke Kampung Kuah di kaki Bukit Emas.

a) Nyatakan dua latar tempat berserta contoh dalam petikan. [4 markah]
b) Nyatakan satu teknik plot /penceritaan dalam petikan.  [2 markah]



Isnin, 7 November 2016

Cerpen Anak-Anak Suria

Cerpen Zaharah Nawawi ini mengundang rasa terkejut dalam kalangan pelajar apabila didapati bahawa Suria sebenarnya ialah kucing peliharaan Amanani dan Hakim. Pada permulaan cerpen, pembaca menyangka bahawa Suria ialah anak kandung Amanani dan Hakim kerana cara mereka menjaga dan melayan Suria serta respons Suria yang sangat manja. Kejutan juga apabila mendapati Ayu, pembantu rumah mereka yang sangat prihatin dan penyayang, rupa-rupanya membunuh anak-anak Suria iaitu Manja, Bayu, Didi. Soalan yang tidak terjawab hingga ke akhir ialah motif Ayu berbuat demikian.

1. Jelaskan tema cerpen.
2. Huraikan persoalan-persoalan cerpen.
3. Jelaskan nilai murni dalam cerpen.
4. Berikan teknik suspens dan teknik kejutan dalam cerpen.

Perbincangan jawapan

Sebelum membincangkan jawapan, wajar dilihat isi cerpen ini yang menjurus kepada penekanan kasih sayang yang amat tinggi kepada haiwan sejak mula ke akhir cerpen. Watak antagonis cerpen iaitu Ayu ditonjolkan sebagai manusia yang kejam, sanggup membunuh kucing-kucing jagaannya padahal di hadapan Amanani dan Hakim, dia amat penyayang terhadap haiwan. Aspek undang-undang haiwan turut dinyatakan tentang hukuman terhadap sesiapa yang berlaku kejam terhadap haiwan. Maka, jelas isu utama ialah kasih sayang manakala sikap manusia yang suka berpura-pura, kekejaman manusia terhadap haiwan dan hak haiwan di sudut undang-undang ialah isu sampingan

1.Tema cerpen ialah kasih sayang manusia terhadap haiwan. Amanani dan Hakim amat menyayangi Suria, kucing peliharaan mereka bagaikan anak sendiri.

2. Persoalan kekejaman manusia terhadap haiwan. Ayu sanggup membunuh anak-anak kucing majikannya dengan cara melemaskannya dalam plastik dan membuangnya ke tong sampah. Juga, persoalan sikap manusia yang suka berpura-pura iaitu Ayu yang tidak jujur menjaga kucing-kucing tuannya. Ia berpura-pura penyayang terhadap kucing di hadapan majikannya sahaja. Persoalan kekejaman manusia terhadap haiwan. Ayu berlaku kejam dengan membunuh anak-anak kucing seperti Manja dan Bayu.

3. Nilai kasih sayang. Nilai prihatin. Nilai kejujuran. (Contoh huraian boleh diambil seperti dalam soalan 2)

4. Teknik suspens dapat dilihat pada peristiwa Amanani mendengar bunyi kucing dari tong sampah. Pembaca tertanya-tanya akan perkara sebenar yang sedang berlaku. Teknik kejutan pula pada peristiwa pengakuan Ayu bahawa ia yang membuang anak kucing ke tong sampah. pembaca berasa terkejut kerana tidak menyangka bahawa Ayu yang penyayang sanggup berbuat demikian.



Sabtu, 4 Februari 2012

Cerpen Anak-Anak Pejuang

Berdasarkan cerpen Anak-Anak Pejuang karya Ghazali Lateh :
(a) Jelaskan dua persoalan dalam cerpen.  [4 markah]
(b) Huraikan perwatakan Pak Denan. [6 markah]

Keseluruhan cerpen ini jelas memaparkan peristiwa yang berkisar tentang semangat patriotik seorang bekas pejuang kemerdekaan iaitu Pak Denan. Semangat patriotik kian memuncak apabila pengarang memilih Hari Kebangsaan dan Dataran Merdeka serta Tugu Negara sebagai hari dan latar tempat bagi klimaks cerpen ini. Maka, tema cerpen sememangnya berasaskan semangat patriotik iaitu semangat patriotik generasi tua yang pernah berjuang memperjuangkan kemerdekaan tanah air.
a) Persoalan keberanian menentang penjajah. Pak Denan dan rakan-rakannya berani menentang penjajah sehingga berjaya memperoleh kemerdekaan.
Persoalan generasi muda yang kurang memahami nilai kemerdekaan. Abdul Rahman dan Abdul Razak enggan  membawa bapa mereka ke Kuala Lumpur untuk menghadiri perarakan Hari Kebangsaan kerana boleh menyaksikannya melalui televisyen.

b) Pak Denan penyayang - Menyayangi anak-anak dan isteri. Berusaha membesarkan anak-anak sehingga berjaya menjadi golongan berada. Patriotik - Pak Denan berani menentang penjajah sehingga berjaya memperoleh kemerdekaan. Suka membantu orang yang memerlukan. Pak Denan membantu melindungi Ah Yau semasa zaman penjajahan. Berazam tinggi - Pak Denan sanggup pergi sendirian ke Kuala Lumpur walaupun sudah tua.

Ahad, 20 Mac 2011

Cerpen Anak Gembala - antologi Anak Global

1. Baca petikan cerpen dan jawab soalan berikutnya.

Biarlah hujan ribut, dia ingin bersama-sama kerbaunya di lembah ini. Lembah Bilut akan dipertahankan walaupun apa yang terjadi. Mat Seman tidak pernah meminta apa-apa bantuan daripada orang. Daripada wang sagu hati dia putus kaki, dia membina kandang baru yang ada atap untuk kerbau-kerbaunya, dia membeli mesin penyodok untuk menolak tahi-tahi kerbaunya ke tepi setiap pagi. 

a. Berdasarkan petikan, berikan 2 perwatakan Mat Seman.    (2 markah)
b. Nyatakan pengajaran yanag terdapat dalam petikan.        (2 markah)

Berdasarkan cerpen Anak Gembala karya Zahari Affandi jawab soalan-soalan berikut;
a. Huraikan 5 persoalan yang terdapat dalam cerpen tersebut.   (10 markah)
b. Huraikan 5 teknik plot yang digunakan oleh pengarang.    (10 markah)

Skema Jawapan
1. a. -Berani mempertahankan hak -1m
 -Berdikari - 1m
b. -Kita janganlah terlalu mengharapkan bantuan orang lain. -1m
    -Kita haruslah berani mempertahankan diri daripada ditindas oleh orang lain.-1m
2. a. Persoalan-persoalan dalam Anak Gembala

 -Kepentingan sikap berfikiran secara rasional dalam menyelesaikan masalah.               Misalnya tindakan Mat Seman yang melepaskan kerbau-kerbau ketika kerja-kerja     pembangunan Lembah Bilut dijalankan hanya mengundang padah. 2m 

-Tanggungjawab dalam menyara  keluarga. Walaupun kehidupan Mat Seman agak payah setelah kakinya dipotong namun dia tetap bekerja untuk menyara keluarganya tanpa mengharapkan bantuan orang lain. 2m
  -Kerjasama dalam keluarga. Anak-anak Mat Seman dan isterinya sering membantu     ayah mereka menjaga kerbau-kerbau mereka. 2m
-Kepentingan pendidikan. Mat Seman bercita-cita untuk menyekolahkan anak-anaknya hingga ke universiti untuk kehidupan yang lebih senang. 2m
-Kesan pembangunan terhadap kehidupan manusia. Mat Seman bimbang pembangunan yang akan dibuat di Lembah Bilut akan menyebabkan muda-mudi di Kampung Angun Butir Sebatu terpengaruh dengan budaya Barat. 2m

b. Teknik plot yang digunakan:

-Dialog- Dialog antara Mat Seman dan Tok Penghulu yang berbincang tentang     pembaharuan yang akan berlaku di Lembah Bilut. 2m
-Imbas kembali- Mat Seman teringat kembali cerita datuknya tentang kehebatan ayahnya     yang pakar tentang ilmu memelihara kerbau. Hanya daripada tahi kerbau sahaja dia tahu penyakit kerbaunya. 2m
-Monolog dalaman- Mat Seman berbisik dalam hatinya bahawa dia tidak mahu dianggap     oleh orang kampung  sebagai seorang askar yang tidak lagi mampu setelah cacat. 2m
-Pemerian- Pengarang menggambarkan tentang keadaan kandang kerbau milik Mat Seman setelah hari hujan. 2m
-Kejutan- Pembaca terkejut kerana pada akhir cerita Mat Seman telah mati kerana     dirempuh oleh kerbau-kerbau peliharaannya. 2m
-Imbas muka- Mat Seman membayangkan kesan yang akan timbul jika pembangunan     dibawa ke Lembah Bilut. Lembah Bilu tidak akan “suci” lagi. 2m

Selasa, 22 Februari 2011

Cerpen : Melakar Impian

1. Nyatakan gaya bahasa bagi frasa di bawah.

a) bara kemarahan
b) Kacang hantu
c) Matanya menikam tajam ke dalam mata sahabatnya itu
d) “Tentunya tak salah mencuba sesuatu yang baru, kan?”

2.i.Jelaskan tema cepen. (4 markah)
ii. Bincangkan 3 persoalan yang terdapat dalam cerpen.(6 markah)
iii. Huraikan 5 nilai yang terdapat dalam cerpen. (10 markah)

Skema Jawapan

1.a.Metafora -1m
b.simpulan bahasa -1m
c. personifikasi- 1m
d. sinkope-1m

2.a.i. Temanya ialah kegigihan anak muda mengusahakan projek ternakan. 2m Kegigihan Rosli dalam menjalankan projek menternak burung ruak-ruak walaupun dia ditertawakan oleh kawan-kawannya. Dia akhirnya berjaya dalam projek tersebut dan rakan-rakan yang dulunya mentertawakan usahanya turut terlibat dalam projeknya.-2m
ii. Persoalan;
- Sikap pemaaf / tidak berdendam sesama manusia. Misalnya Rosli sanggup menjamin rakan- rakannya setelah ditangkap polis walaupun dia pernah ditertawakan oleh mereka.-2m
- Sikap yakin terhadap diri sendiri. Misalnya, Rosli yakin bahawa usahanya akan membuahkan hasil walaupun liku-likunya agak sukar.-2m
- Sokongan ibu bapa terhadap usaha anak-anak. Ibu bapa Rosli meminjamkan modal sebanyak RM 2000 supaya Rosli dapat menjalankan projek menternak burung ruak- ruak.-2m
- Semangat persahabatan/setiakawan. Rosli tetap meneruskan persahabatan dengan kawan-kawannya walaupun mereka pernah merendah-rendahkan usahanya. Rosli menjamin mereka di balai polis. Malah, dia mempelawa mereka bersama-sama mengusahakan projek ternakan ruak-ruak.

b.Nilai-nilai;
-Keberanian. Rosli berani memulakan projek menternak burung ruak-ruak yang belum pernah dibuat oleh sesiapa pun tambahan pula burung tersebut sangat rumit penjagaannya.-2m
-Kegigihan. Rosli gigih mengusahakan projek burung ruak-ruak bermula dengan hanya 20 ekor kini ternakannya menjadi beribu-ribu ekor. -2m
Ketabahan-. Rosli masih tetap sabar memujuk rakan-rakannya walaupun uasahanya itu ditertawakan oleh mereka-2m
-Keinsafan. Rosli sedar tidak ada faedahnya jika dia terus menjadi kacang hantu di kampungnya -2m

Rabu, 16 Februari 2011

CERPEN : BAH UREI

1.Apabila merasakan tiupan angin yang mengacah-acah dan mendengar deru pohonan yang kian nyaring dia didatangi rasa pilu dan kesal lagi. Segala-galanya seolah-seolah menikamkan kesakitan, menyerap jauh ke dalam pembuluh darah malah terapung-apung menghiris-hiris relung hatinya.

a.Nyatakan maksud gaya bahasa personifikasi.(2 markah)
b.Berdasarkan petikan berikan dua contoh gaya bahasa tersebut. (2 markah)

2. Berdasarkan cerpen Bah Urei, jawab soalan-soalan berikut;
a. Bincangkan 2 latar masyarakat dalam cerpen.(4 markah)
b. Jelaskan 5 perwatakan watak utama.(10 markah)

SKEMA JAWAPAN

1.a.Personifikasi bermaksud memberikan sifat manusia kepada benda bukan manusia -1m
b. dia didatangi rasa pilu dan kesal -1m
angin yang mengacah-ngacah -1m

2.a. Masyarakat asli suku kaum Semai. Contohnya, Bah Urei merupakan lelaki orang asli suku kaum Semai yang masih mengamalkan adat suku kaumnya. 2m
Masyarakat yang berfikiran terbuka. Misalnya, Tok Batin dan anak-anak buahnya bersetuju untuk menerima pembangunan yang akan dibuat di kampung mereka. 2m

b. Seorang yang setia. Bah Urei masih setia menjaga kubur Sirih walaupun isterinya telah lama meninggal dunia. 2m
Seorang yang berani. Bah Urei pernah membunuh seekor harimau yang besar dengan hanya menggunakan lembing semasa mudanya. 2m
Seorang yang sensitif. Bah Urei menangis ketika dia berusaha untuk menebang pokok keledang kerana ia lambang perkahwinannya dengan Sirih. 2m
Seorang yang menyayangi alam semulajadi. Bah Urei suka akan kehidupan di dalam hutan yang memberikan ketenangan kepadanya. 2m
Seorang yang suka bertindak terburu-buru. Bah Urei mengasah parang lalu pergi menyerang pekerja-pekerja yang ingin membersihkan kawasan hingga menyebabkan ada yang tercedera. 2m

Rabu, 12 Januari 2011

CERPEN GELUNGNYA TERPOKAH

SOALAN STRUKTUR

1. “Berahim anak kurang ajar,” gerutunya. “Nanti aku sesah kepalanya dengan lading malam ini. Tak boleh kepalanya aku tetak kepala bininya. Tak boleh kepala bininya aku cincang anaknya. Tak boleh anaknya aku rantas kaki kerbaunya!’

a)Berikan sebab yang menjadi punca kemarahan penutur di atas.
b)Siapakah nama penutur dialog di atas.
c)Berikan dua persoalan yang diperoleh daripada cerpen tersebut.

2.Nyatakan gaya bahasa yang sesuai dalam petikan cerpen.

a. Pijakan itu gopoh-gopoh bagaikan dikejar anjing tiga suku.
b. Pudar-pudar warna bulan menampar-nampar air di sawah.
c. “Berahim! Berahim! Mana Berahim! Aku mesti tetak dia!”
d. “Dah habeh?”

SOALAN ESEI

3.a. Berikan dua sebab yang mencetuskan konflik antara Jusoh dan Berahim
sehingga menyebabkan kedua-duanya saling bermusuhan. [4 markah]
b. Nyatakan citra masyarakat yang tergambar dalam cerpen.[10 markah]


Contoh Jawapan

1 a) sawahnya sudah kering kontang kerana gelungnya terpokah [1m]
b) Jusoh [1m]
c) Prasangka yang membawa kepada konflik sesama jiran tetangga [ 1m]
Berfikir secara rasional sebelum melakukan sesuatu tindakan [1m]
Kemiskinan hidup masyarakat petani [1m]

2.Simile [1m]
Personifikasi [1m]
Repitisi [1m]
Sinkope [1m]


3. a)Peristiwa gelung air petak sawah Jusoh telah dipokah oleh seseorang
Jusoh secara melulu menuduh Berahim melakukannya
Jusoh tidak dapat bersabar dengan kejadian tersebut kerana dia bergantung hidup pada hasil tanaman padi untuk menyara keluarga
Kerbau Berahim disimbah cuka getah oleh Jusoh
Berahim menghadapi masalah untuk mengusahakan sawah kerana kematian kerbaunya
Berahim menyimpan dendam terhadap Jusoh

b. Masyarakat petani yang hidup bergantung pada hasil pertanian
Masyarakat yang saling berdendam
Masyarakat yang prihatin
Masyarakat yang suka membuat tuduhan tanpa bukti/berprasangka
Masyarakat petani yang hidup susah