Aduhai malang Pak Kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk,
Rumah runtuh awak menumpang.
Soalan Latihan.
1. Huraikan nasib malang Pak Kaduk dalam seloka di atas. (10 markah)
2. Huraikan pengajaran seloka. (8 markah)
3. Jelaskan persoalan dalam puisi (8 markah)
4. Huraikan unsur-unsur sindiran dalam seloka. (4 markah)
Jawapan
1. Pak Kaduk bernasib malang apabila ayamnya menang tetapi kampungnya tergadai kerana ditipu. Malang juga, apabila ia kebuluran apabila pulang ke rumah kerana nasinya telah dibuang. Bertambah malang pula, dia mengalami kesusahan mengayuh perahu. Sewaktu menaiki sampan ke hulu/mudik di sungai, dia terpaksa menongkah air surut. Semasa ke hilir pula, dia terpaksa menongkah air pasang. Pak Kaduk juga bernasib malang kerana sewaktu belayar, angin tidak bertiup langsung tetapi apabila tiba di pangkalan, barulah terdapat angin bertiup. Juga malang. apabila rumahnya runtuh lalu terpaksa menumpang di rumah orang.
(Nota : Jawapan malang kerana a) isteri dibunuh dan b) bertandang duduk di rumah orang tidak diterima).
2. Kita hendaklah menjauhi amalan judi/ Kita janganlah berjudi/ Kita haruslah mengelakkan berjudi kerana membawa kerugian. Cth : Ayamnya menang kampung tergadai, Kita haruslah bertindak secara bijaksana supaya tidak menyusahkan diri sendiri/menyesal kemudian. Cth : Ada nasi dicurahkan, Awak pulang kebuluran/Ada isteri dibunuh, Kita haruslah reda/sabar dengan nasib/ketentuan/takdir. Cth : Masa belayar kematian angin. Kita haruslah merancang sebelum melaksanakan sesuatu perkara. Cth : Hilir menongkah pasang. Seorang suami hendaklah menyayangi/menjaga isterinya. Cth : Ada isteri dibunuh.
3. Salah satu persoalan seloka ini ialah keburukan amalan berjudi/sabung ayam. Cth : Ayam menang kampung tergadai. Terdapat juga persoalan sikap manusia yang bertindak secara melulu/emosional. Cth : Ada nasi dicurahkan/Ada isteri dibunuh. Persoalan nasib malang dalam kehidupan juga dipaparkan. Cth : Aduhai malang Pak Kaduk. Terdapat juga persoalan penipuan sesama manusia. Cth: Ayamnya menang kampung tergadai. Juga, persoalan sikap manusia yang terlalu yakin/optimis mendapatkan sesuatu yang belum pasti. Cth : Ada nasi dicurahkan, Awak pulang kebuluran. Juga persoalan kepentingan sikap reda/sabar dalam menghadapi dugaan/nasib. Cth: Masa belayar kematian angin.
4. Terdapat unsur sindiran terhadap manusia yang suka berjudi sehingga mengorbankan harta/tanah/kampung. Cth : Ayam menang kampung tergadai. Juga unsur sindiran terhadap manusia yang terlalu yakin akan mendapat sesuatu yang belum pasti. Cth : Ada nasi dicurahkan. Terdapat juga unsur sindiran terhadap manusia yang bertindak secara melulu/emosional. Cth: Ada isteri dibunuh.