ANAK GLOBAL
Gerabak mulai pasang manusia.
Di depanku kerusiku
seorang anak muda
zaman mewah.
Dari jarak jauh dia anak biasa
pakaiannya mengingat masa
ekonomi belum tersembam
di depan rakyat yang tersentak jatuh.
Dari dekat dia dibintangi
nama dan warna dunia.
beg sandang kelabu memanjat High Sierra
cermin mata hitamnya dari kompeni Oakley
baju-t bangganya mengiklan
tempat asalnya,Hard Rock Cace, New York,
jean Levi’s bernombor siri
Planet Hollywood
sandal dari Adidas
jam menyembul G- Shock
dan telefon bimbitnya Nokia.
Aku menanya dalam diri
celana dalamnya pasti dari luar negeri
dan ubat jerawat dibeli
mengikut arahan iklan mana?
Kucari diri Malaysianya
tapi yang kutemui
kulitnya sehitam tanganku
hidungnya agak penyek
dan ada bau petai yang memanjat
ke udara kereta api.
namun bahasanya aku tidak mengerti,
dua patah Melayu ditimbun sepuluh inggeris,
dipinjam dari majalah anak muda.
Aku tunduk
mencari Malaysianya,
yang mungkin terjatuh
ke bawah kerusinya.
Tapi yang ada hanya habuk sepatu
dan kotoran yang mengelak penyapu.
Sewaktu dia turun di stesen
aku mengeluh
dan murung,
segalanya yang diperjuangkan
oleh ayahnya
diterjemah jadi barangan
konsumer unggul dunia.
Latihan Esei
a) Huraikan nada sajak. (4 markah)
b) Apakah maksud baris berikut:
segalanya yang diperjuangkan oleh ayahnya diterjemah jadi barangan konsumer unggul dunia. (4 markah)
c) Jelaskan sebab-sebab penyajak kecewa dengan anak muda. (8 markah)
d) Berikan satu contoh gaya bahasa personifikasi dan satu contoh gaya bahasa sinkope dalam sajak. (4 markah)
Jawapan:
a) Nada sajak ialah nada sinis.Penyajak menyindir anak muda Melayu/Malaysia yang mengutamakan/ mengagung-agungkan Barat dari segi jenama pakaian/aksesori dan mengutamakan bahasa Inggeris.
b) Kemerdekaan yang diperoleh oleh generasi lalu diisi dengan gaya kehidupan berasaskan jenama terkenal antarabangsa.
c) Penyajak kecewa kerana anak muda mengutamakan pakaian/aksesori jenama Barat. Juga, kecewa kerana anak muda suka berbelanja mewah. Penyajak juga kecewa kerana anak muda menggunakan bahasa rojak Melayu-Inggeris. Penyajak turut kecewa kerana anak muda kehilangan identiti/jati diri bangsa/negara. Juga, kecewa dengan sikap anak muda yang kurang patriotik. Akhirnya kecewa dengan anak muda yang tidak menghargai perjuangan ayahnya mendapatkan kemerdekaan/kurang mengerti cara menghargai nilai kemerdekaan.
d) Contoh personifikasi ialah ekonomi belum tersembam. Contoh sinkope ialah tapi.