Mulai 2015, satu novel dipelajari iaitu Naratif Ogonshoto karya Dato' Anwar Ridhwan. Antologi teks moden (sajak, cerpen dan drama) ialah Kubentang Sebuah Peta. Teks tradisional pula ialah Nilai Insan.

Carian Blog Ini

Rabu, 19 Mei 2021

Sajak Citra Pelangi 1Malaysia karya A. Halim Ali

Kita berfikir tentang sejuta mimpi
yang tumbuh rendang
dari lena dari tidur dari sepi malam
mari kita himpunkan angannya
menjadi mentari pagi.

Kita menyulam sejuta jiwa
yang bergetar dalam riak rasa berbeza
menjadi sebuah lagu cinta
lirik perpaduan seni senegara
rentak fikir bersama berpadu
inilah muzik satu hati sejiwa
rumpun pelbagai bangsa satu bahasa
berlagu senada menari langkah sekata.

Kita menghulur jemari hati
menghantar pesan seloka
mengirim diksi dari langit
mantera dari rumpun Melayu
air mawar dari sumur nusantara
satukan menjadi jamu cinta kita
santap dalam pentas terbuka
di anjung pelbagai sejuta budaya
duduk-duduk berlamalah di sini
sambil menganyam citra pelangi di wajah 1 Malaysia
kelak kita menjadi lebih faham
perlunya berfikir dan bertindak
dalam bersatu

berbeza dan berselisih itu boleh
tetapi kemudian bersatu
tanah air kita tiada dua
hanya satu.

Karya : A. Halim Ali

a) Huraikan bentuk puisi.
Puisi ini berangkap. Puisi ini mengandungi 4 rangkap. 
Jumlah baris dalam setiap rangkap adalah tidak sama. Terdapat 4 baris hingga 14 baris pada setiap rangkap. 
Jumlah patah perkataan dalam setiap baris adalah tidak sama. Terdapat 2 hingga 7 patah perkataan setiap baris. 
Jumlah suku kata setiap baris adalah tidak sama. Terdapat 4 hingga 14 suku kata setiap baris. 
Kesimpulannya, puisi tersebut berbentuk bebas. Hal ini  kerana jumlah baris dalam setiap rangkap adalah tidak sama.

b) Huraikan gaya bahasa.
Asonansi a. Contoh, Kita menyulam sejuta jiwa.
Aliterasi t. Contoh, Kita berfikir tentang sejuta mimpi.
Kata ganda. Contoh, duduk-duduk.
Repitisi kata. Perkataan dari. Contoh, dari lena dari tidur dari sepi malam.
Responsi. Contoh,
mantera dari rumpun Melayu,
air mawar dari sumur nusantara.
Inversi. Contoh, sepi malam. 
Metafora. Contohnya, jamu cinta.

c) Huraikan nada sajak.
Nada sajak ialah nada patriotik. 
Penyajak bersemangat patriotik mengharapkan masyarakat Malaysia bersatu walaupun berbeza bangsa dan budaya. 
Contohnya, sambil menganyam citra pelangi di wajah 1Malaysia.
Contohnya, tanah air kita tiada  dua, hanya satu.

d) Huraikan pengajaran/mesej puisi.
Kita hendaklah mempunyai / mengutamakan perpaduan dalam masyarakat.
Contoh, lirik perpaduan seni senegara, rentak fikir bersama berpadu.
Kita hendaklah mengamalkan satu bahasa bagi mewujudkan perpaduan.
Contoh,rumpun pelbagai bangsa satu bahasa, berlagu senada menari langkah sekata.
Kita hendaklah mencintai dan mempertahankan negara kita. 
Contoh, tanah air kita tiada dua,hanya satu.

e) Terangkan nilai kemanusiaan/nilai murni dalam sajak.
Nilai patriotisme.Contoh, tanah air kita dua,hanya satu.
Nilai perpaduan. Contoh, lirik perpaduan seni senegara, rentak fikir bersama berpadu.
Nilai toleransi.Contoh, berbeza dan berselisih itu boleh, tetapi kemudian bersatu.

e) Huraikan persoalan sajak. 
Persoalan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum. 
Contoh, lirik perpaduan seni senegara, rentak berfikir sama berpadu.
Persoalan kepentingan sikap bertolak ansur/bertoleransi dalam masyarakat. 
Contoh, berbeza dan berselisih itu boleh, tetapi kemudian bersatu. 
Persoalan semangat patriotik/ cinta akan tanah air yang  tinggi dalam diri. 
Contohnya, tanah air kita tiada dua, hanya satu.