Mulai 2015, satu novel dipelajari iaitu Naratif Ogonshoto karya Dato' Anwar Ridhwan. Antologi teks moden (sajak, cerpen dan drama) ialah Kubentang Sebuah Peta. Teks tradisional pula ialah Nilai Insan.

Carian Blog Ini

Selasa, 18 Januari 2011

Dari Lembah Ke Puncak Soalan Struktur Siri 1

1. Hujan lebat yang turun malam tadi menempiaskan sedikit rasa kemalasan dalam diri Jalil. Anak muda yang berusia lapan belas tahun itu masih berselimut dalam kain sentung nipis dan lusuh, mengerekot menahan dingin pagi yang dibawa angin yang mencuri masuk di celah-celah dinding usang.

a.Apakah teknik penulisan yang digunakan dalam petikan di atas? (1 markah)
b.Berikan tiga jenis gaya bahasa yang terdapat dalam petikan di atas.(3 markah)

2. “Bukan begitu maksud Jalil, mak! Tapi...”
“Tapi apa? Abang engkau itu jahat? Begitu? Dia tu balik setahun sekali pun susah, bagaimana pula nak larikan anak dara orang?” Mak Teh semakin meradang.

a.Siapakah yang dibela oleh Mak Teh?(1 markah)
b.Apakah peristiwa yang menyebabkan dialog di atas dituturkan?(2 markah)
c.Apakah teknik penulisan yang digunakan dalam petikan di atas?(1 markah)

3. Tengah hari selepas kegemparan itu, Jalil pulang dari sekolah. Dia berjalan dari simpang jalan tar ke Bukit Jenun, menumpangi teduh rimbunan getah muda Ah Yau. Apabila sampai di depan rumah Pak Ngah Kadir, ayah Biah, dia terserempak dengan Kudin.

Berdasarkan petikan di atas, berikan empat latar tempat yang dipaparkan oleh penulis.

4. Di matanya air jernih tergenang. Jalil menangis. Entah mengapa hatinya berasa sedih. Susah bagi Jalil untuk menangis. Semasa arwah bapanya meninggal dunia pun dia tidak menangis. Tetapi, kali ini Jalil tewas. Ditewaskan oleh keadaan.

a.Apakah peristiwa yang menyebabkan Jalil menangis?(2 markah)
b.Jelaskan teknik plot yang digunakan oleh penulis?(2 markah)

5. Selama ini dia mengenali Biah sebagai anak gadis yang baik, rajin, dan tidak banyak bercakap. Tidak keterlaluan jika dikatakan dalam keluarga Pak Ngah Kadir, Biahlah yang mencari rezeki dengan menoreh getah.

Senaraikan perwatakan Biah berdasarkan petikan di atas.(4 markah)

6. Di surau itu dahulu diadakan majlis bubur asyura setiap tahun ketika tiba awal Muharam. Setiap penduduk kampung akan datang memeriahkan majlis itu secara bergotong-royong. Ada yang membawa tepung, gula, kayu api, dan bermacam-macam lagi. Semuanya tidak perlu dibeli.

a.Apakah nilai murni yang diamalkan oleh masyarakat dalam petikan di atas? (2 markah)
b.Berikan dua unsur Islam dalam petikan di atas.(2 markah)

7. Akhirnya, sawah padi pusaka itu bertanam juga. Hampir dua minggu Jalil mengambil masa untuk mengubah anak benih padi ke sawah. Namun, dia bersyukur kerana berhasil juga mengerjakan sawah pusakanya. Dia berasa bersalah jika sawah itu terbiar. Dia berasa bapanya memerhatikannya mengerjakan sawah warisan itu.

Nyatakan empat latar masyarakat dalam petikan di atas.(4 markah)

Skema jawapan :

1.a. Teknik pemerian
b.Tiga jenis gaya bahasa:
i.personifikasi – angin yang mencuri masuk/ hujan lebat yang turun malam tadi menempiaskan sedikit rasa kemalasan dalam diri Jalil
ii.kata ganda – celah-celah
iii.dialek Kedah – kain sentung (kain pelikat)

2.a.Muhsin
b.i.Mak Teh marah apabila Jalil bertanyakan tentang Muhsin.
ii. Muhsin dituduh melarikan Biah ke Kuala Lumpur.
c.Teknik - dialog

3.Latar tempat
i.sekolah
ii.simpang jalan tar ke Bukit Jenun
iii.kebun getah Ah Yau
iv.depan rumah Pak Ngah Kadir

4.a.i.Jalil dimarahi oleh guru Biologinya, Miss Ong.
ii. Pulang dari sekolah, Jalil dipukul curi oleh tiga orang yang tidak dikenali.
b.Teknik
i.imbas kembali - Semasa arwah bapanya meninggal dunia pun dia tidak menangis.
ii.pemerian - Di matanya air jernih tergenang. Jalil menangis.

5.Perwatakan Biah
i.Baik
ii.Rajin
iii.Tidak banyak bercakap/ pendiam
iv.Bertanggungjawab
v.Pandai/mahir/cekap menoreh getah

6.a.i.Bergotong-royong/muafakat/bekerjasama
ii. murah hati/pemurah
b.i.Surau
ii. Muharam
iii.Asyura

7.i.Masyarakat petani
ii.Masyarakat yang bersyukur
iii.Masyarakat yang berusaha gigih
iv.Masyarakat yang bertanggungjawab

Tiada ulasan:

Catat Ulasan