Oleh sebab PKP, ada masalah buku teks, maka pelajar-pelajar boleh membaca teks cerpen di bawah sekiranya tiada buku teks KMK.
Hasil Karya : Fauziah Mohd. Ismail
AKU masih ingat, malam itu kami
berkumpul anak beranak, Along ada, Angah juga turut pulang. Achik dan juga aku
tidak ketinggalan melengkapkan malam yang indah itu. Malam itu emak memasak juadah
istimewa daripada biasa. Gulai ikan sembilang kegemaran abah menjadi menu
utama. Sambal udang campur petai, sayur keladi, gulai ayam kampung, dan ikan
terubuk cicah air asam yang paling sedap disediakan emak sejak dahulu lagi.
Tiga kali abah menambah malam
itu. Kami kehairanan dengan selera abah yang tiba-tiba berganda itu. Aku yang
tidak menjamah ikan sungai dipaksa oleh abah supaya merasanya walaupun sedikit.
Sedap pujuknya, apa lagi kalau emak yang memasak.
Malam itu, aku kira malam keramat
apabila Along dan Achik yang bertahun-tahun tidak bertegur sapa menampakkan
tanda akan berdamai. Air dicencang tidak akan putus dan biduk berlalu kiambang
pasti bertaut. Entah, aku tidak tahu punca persengketaan mereka. Kata abah, hal
orang lelaki. Malam itu malam kenangan yang akan aku ingat sampai bila-bila.
Selepas tiga bulan berlalu,
keluarga kami jadi murung kerana dilanda musibah yang paling memedihkan. Ratu
hati kami pergi menghadap Ilahi. Aku terasa sepi sejak emak hilang daripada
kami kerana emak tempat kami bermanja. Rumah itu seakan tidak bermaya. Aku tahu
yang paling terasa kehilangan ialah abah. Selama ini, emak tempat abah
mengandar kasih, melenyap sepi hatinya dan emak teman hidup abah yang paling
setia. Aku cuba menemani abah, mengisi ruang-ruang sepi yang ditinggalkan oleh
emak itu.
Aku tidak menyalahkan abang yang
lain kalau mereka kurang waktu untuk abah kerana masing-masing punya kehidupan
sendiri. Aku kira abah juga mengerti. Begitulah pusingan hidup, kata abah,
suatu ketika sambil mengusap helai rambutku yang panjang. Aku membela rambutku
kerana abah. Anak perempuan manis, kalau menyimpan rambut panjang, tambah abah
lagi.
"Averah juga akan tinggalkan
abah suatu hari nanti."
"Bukan meninggalkan abah
tetapi lelaki itu akan menggantikan tempat abah, menjaga dan mengasihi Averah
seperti abah menjaga dan mengasihi. Tanggungjawab ke atas Averah akan terlepas.
Kasih yang abah akan terus menghantar Averah untuk pulang menemani abah. Averah
janji, abah!" "Doktor muda macam Averah tentu sentiasa sibuk."
"Averah sudah memohon untuk
bertugas di tempat paling hampir dengan kampung kita supaya dekat dengan
abah," kata aku melenyapkan kebimbangan abah.
Aku tidak pernah menyesal kerana
menolak tawaran belajar di luar negara dan memilih universiti tempatan untuk
menyambung cita-cita menjadi doktor seperti Along. Aku lebih menyesal kalau meninggalkan
abah dalam kerinduan dan kesepian. Aku kira aku paling rapat dengan abah.
Mungkin kerana aku satu-satunya anak perempuan abah.
Disebabkan abah juga aku menolak
cinta Dr. Lokeman. Bagiku, lelaki itu sangat sofistikated, anak orang berada
dan tidak pernah akan mengalah meninggalkan kota gahnya untuk mengikut aku tinggal
di kampung yang masih tertinggal dan jauh daripada hidup yang moden serta
lengkap dengan kemudahan. Tidak mungkin lelaki itu akan bertukar watak hanya
kerana cinta terhadap gadis pingitan seperti aku. Aku menolak cintanya dengan
seribu alasan walaupun dia tidak henti-henti mengirimkan aku mawar merah yang
harum dan cantik. Aku tidak mahu terlanjur mencintainya walaupun ramai yang
beranggapan aku menolak tuah.
"Hanya gadis yang urat
nadinya terputus sahaja yang akan menolak cinta teruna setampan Dr.
Lokeman," sindir teman-teman. Biarlah, aku tidak akan kempunan. Puncak
cinta bukan pada tawaran harta. Bukan pada paras rupa tetapi pada hati dan
keserasian dalam ikatan. Aku mengangankan cinta yang akan membawa aku syurga.
Tunggulah, aku akan menjumpai cinta itu.
Hujung minggu itu, Along
menelefon aku. Katanya, meminta semua anaknya pulang. Kata abah, di kampung
memintanya mencari ikan sembilang untuk dibuat gulai dan meminta semua anaknya
pulang. Kata abah, di kampung sekarang agak susah untuk mencari ikan sembilang.
Abah rindu akan anak cucunya. Abah rindu untuk makan bersama-sama seperti dahulu.
Kedengaran suara Along seperti keberatan untuk memenuhi harapan abah dengan
alasan sibuk dengan kerja. Angah pula berada di Miri. Hujung minggu itu hanya
aku dan Achik serta isterinya yang sedang sarat mengandung anak pertama yang
pulang.
Kami sama-sama
memasak gulai ikan sembilang untuk abah. Mungkin tidak
sesedap masakan arwah emak tetapi aku harap abah gembira dan kempunan abah
tertanggal. Sesudah menjamah nasi pada malam itu dan melayan kami berbual di
anjung, tempat yang selalu menjadi pilihan kami untuk berkumpul, abah meminta
untuk masuk tidur. Sebelum itu, banyak cerita yang abah kongsi bersama kami.
Kisah mudanya yang bergelar guru tetapi saya tidak seorang pun anak-anaknya
berminat untuk menyambung kerjaya abah sebagai pendidik. Tetapi abah tidak
kesal. Pelajaran dan ilmu agama sudah ditinggalkan untuk anak-anaknya.
Sebelum abah
masuk ke kamar beradunya, abah sempat melemparkan senyuman untuk kami. Katanya,
alangkah indah kain semua anaknya dapat pulang. Abah juga memuji gulai sembilang.
Katanya, gulai itu menambahkan rindunya kepada emak. Ah, hampr air mataku
menitis!
Aku melihat
abah sarat dengan kasih sayangnya kepada anak-anak malam itu, walaupun sesekali
dia memandang di kejauhan, mungkin kesal kerana perhimpunan kami malam itu ada
kekurangannya. Along dan Angah yang diharapkan dapat bersama-samanya gagal
pulang untuk memenuhi permintaan hati seorang tua itu.
Dan, aku tidak
tahu mengapa, jiwa seorang anak ini seakan dapat merasakan sesuatu. Hati aku
berdebar tidak sebagaimana selalu ketika abah memandang aku penuh kasih sebelum
masuk tidur.
Esoknya, aku
menemui jawapan keresahan itu. Ketika aka mengejutkan abah untuk solat Subuh
bersama-sama, aku mendapati nafas abah tidak beralun seperti biasa. Abah telah meninggalkan
kami dengan kasih yang terlalu indah. Rupanya, itu pertemuan kami yang
terakhir. Pagi itu, Along dan Angah pulang dengan kekesalan pada wajah mereka
kerana gagal menunaikan permintaan daripada seorang abah yang tercinta.