Mulai 2015, satu novel dipelajari iaitu Naratif Ogonshoto karya Dato' Anwar Ridhwan. Antologi teks moden (sajak, cerpen dan drama) ialah Kubentang Sebuah Peta. Teks tradisional pula ialah Nilai Insan.

Carian Blog Ini

Selasa, 26 Januari 2021

Teks Cerpen Gulai Sembilang Untuk Abah

Oleh sebab PKP, ada masalah buku teks, maka pelajar-pelajar boleh membaca teks cerpen di bawah sekiranya tiada buku teks KMK.

Hasil Karya : Fauziah Mohd. Ismail

AKU masih ingat, malam itu kami berkumpul anak beranak, Along ada, Angah juga turut pulang. Achik dan juga aku tidak ketinggalan melengkapkan malam yang indah itu. Malam itu emak memasak juadah istimewa daripada biasa. Gulai ikan sembilang kegemaran abah menjadi menu utama. Sambal udang campur petai, sayur keladi, gulai ayam kampung, dan ikan terubuk cicah air asam yang paling sedap disediakan emak sejak dahulu lagi.

Tiga kali abah menambah malam itu. Kami kehairanan dengan selera abah yang tiba-tiba berganda itu. Aku yang tidak menjamah ikan sungai dipaksa oleh abah supaya merasanya walaupun sedikit. Sedap pujuknya, apa lagi kalau emak yang memasak.

Malam itu, aku kira malam keramat apabila Along dan Achik yang bertahun-tahun tidak bertegur sapa menampakkan tanda akan berdamai. Air dicencang tidak akan putus dan biduk berlalu kiambang pasti bertaut. Entah, aku tidak tahu punca persengketaan mereka. Kata abah, hal orang lelaki. Malam itu malam kenangan yang akan aku ingat sampai bila-bila.

Selepas tiga bulan berlalu, keluarga kami jadi murung kerana dilanda musibah yang paling memedihkan. Ratu hati kami pergi menghadap Ilahi. Aku terasa sepi sejak emak hilang daripada kami kerana emak tempat kami bermanja. Rumah itu seakan tidak bermaya. Aku tahu yang paling terasa kehilangan ialah abah. Selama ini, emak tempat abah mengandar kasih, melenyap sepi hatinya dan emak teman hidup abah yang paling setia. Aku cuba menemani abah, mengisi ruang-ruang sepi yang ditinggalkan oleh emak itu.

Aku tidak menyalahkan abang yang lain kalau mereka kurang waktu untuk abah kerana masing-masing punya kehidupan sendiri. Aku kira abah juga mengerti. Begitulah pusingan hidup, kata abah, suatu ketika sambil mengusap helai rambutku yang panjang. Aku membela rambutku kerana abah. Anak perempuan manis, kalau menyimpan rambut panjang, tambah abah lagi.

"Averah juga akan tinggalkan abah suatu hari nanti."

"Bukan meninggalkan abah tetapi lelaki itu akan menggantikan tempat abah, menjaga dan mengasihi Averah seperti abah menjaga dan mengasihi. Tanggungjawab ke atas Averah akan terlepas. Kasih yang abah akan terus menghantar Averah untuk pulang menemani abah. Averah janji, abah!" "Doktor muda macam Averah tentu sentiasa sibuk."

"Averah sudah memohon untuk bertugas di tempat paling hampir dengan kampung kita supaya dekat dengan abah," kata aku melenyapkan kebimbangan abah.

Aku tidak pernah menyesal kerana menolak tawaran belajar di luar negara dan memilih universiti tempatan untuk menyambung cita-cita menjadi doktor seperti Along. Aku lebih menyesal kalau meninggalkan abah dalam kerinduan dan kesepian. Aku kira aku paling rapat dengan abah. Mungkin kerana aku satu-satunya anak perempuan abah.

Disebabkan abah juga aku menolak cinta Dr. Lokeman. Bagiku, lelaki itu sangat sofistikated, anak orang berada dan tidak pernah akan mengalah meninggalkan kota gahnya untuk mengikut aku tinggal di kampung yang masih tertinggal dan jauh daripada hidup yang moden serta lengkap dengan kemudahan. Tidak mungkin lelaki itu akan bertukar watak hanya kerana cinta terhadap gadis pingitan seperti aku. Aku menolak cintanya dengan seribu alasan walaupun dia tidak henti-henti mengirimkan aku mawar merah yang harum dan cantik. Aku tidak mahu terlanjur mencintainya walaupun ramai yang beranggapan aku menolak tuah.

"Hanya gadis yang urat nadinya terputus sahaja yang akan menolak cinta teruna setampan Dr. Lokeman," sindir teman-teman. Biarlah, aku tidak akan kempunan. Puncak cinta bukan pada tawaran harta. Bukan pada paras rupa tetapi pada hati dan keserasian dalam ikatan. Aku mengangankan cinta yang akan membawa aku syurga. Tunggulah, aku akan menjumpai cinta itu.

Hujung minggu itu, Along menelefon aku. Katanya, meminta semua anaknya pulang. Kata abah, di kampung memintanya mencari ikan sembilang untuk dibuat gulai dan meminta semua anaknya pulang. Kata abah, di kampung sekarang agak susah untuk mencari ikan sembilang. Abah rindu akan anak cucunya. Abah rindu untuk makan bersama-sama seperti dahulu. Kedengaran suara Along seperti keberatan untuk memenuhi harapan abah dengan alasan sibuk dengan kerja. Angah pula berada di Miri. Hujung minggu itu hanya aku dan Achik serta isterinya yang sedang sarat mengandung anak pertama yang pulang.

      Kami sama-sama memasak gulai ikan sembilang untuk abah. Mungkin tidak sesedap masakan arwah emak tetapi aku harap abah gembira dan kempunan abah tertanggal. Sesudah menjamah nasi pada malam itu dan melayan kami berbual di anjung, tempat yang selalu menjadi pilihan kami untuk berkumpul, abah meminta untuk masuk tidur. Sebelum itu, banyak cerita yang abah kongsi bersama kami. Kisah mudanya yang bergelar guru tetapi saya tidak seorang pun anak-anaknya berminat untuk menyambung kerjaya abah sebagai pendidik. Tetapi abah tidak kesal. Pelajaran dan ilmu agama sudah ditinggalkan untuk anak-anaknya.

Sebelum abah masuk ke kamar beradunya, abah sempat melemparkan senyuman untuk kami. Katanya, alangkah indah kain semua anaknya dapat pulang. Abah juga memuji gulai sembilang. Katanya, gulai itu menambahkan rindunya kepada emak. Ah, hampr air mataku menitis!

Aku melihat abah sarat dengan kasih sayangnya kepada anak-anak malam itu, walaupun sesekali dia memandang di kejauhan, mungkin kesal kerana perhimpunan kami malam itu ada kekurangannya. Along dan Angah yang diharapkan dapat bersama-samanya gagal pulang untuk memenuhi permintaan hati seorang tua itu.

Dan, aku tidak tahu mengapa, jiwa seorang anak ini seakan dapat merasakan sesuatu. Hati aku berdebar tidak sebagaimana selalu ketika abah memandang aku penuh kasih sebelum masuk tidur.

Esoknya, aku menemui jawapan keresahan itu. Ketika aka mengejutkan abah untuk solat Subuh bersama-sama, aku mendapati nafas abah tidak beralun seperti biasa. Abah telah meninggalkan kami dengan kasih yang terlalu indah. Rupanya, itu pertemuan kami yang terakhir. Pagi itu, Along dan Angah pulang dengan kekesalan pada wajah mereka kerana gagal menunaikan permintaan daripada seorang abah yang tercinta.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan