Mulai 2015, satu novel dipelajari iaitu Naratif Ogonshoto karya Dato' Anwar Ridhwan. Antologi teks moden (sajak, cerpen dan drama) ialah Kubentang Sebuah Peta. Teks tradisional pula ialah Nilai Insan.

Carian Blog Ini

Selasa, 18 Januari 2011

Dari Lembah Ke Puncak Soalan Struktur Siri 1

1. Hujan lebat yang turun malam tadi menempiaskan sedikit rasa kemalasan dalam diri Jalil. Anak muda yang berusia lapan belas tahun itu masih berselimut dalam kain sentung nipis dan lusuh, mengerekot menahan dingin pagi yang dibawa angin yang mencuri masuk di celah-celah dinding usang.

a.Apakah teknik penulisan yang digunakan dalam petikan di atas? (1 markah)
b.Berikan tiga jenis gaya bahasa yang terdapat dalam petikan di atas.(3 markah)

2. “Bukan begitu maksud Jalil, mak! Tapi...”
“Tapi apa? Abang engkau itu jahat? Begitu? Dia tu balik setahun sekali pun susah, bagaimana pula nak larikan anak dara orang?” Mak Teh semakin meradang.

a.Siapakah yang dibela oleh Mak Teh?(1 markah)
b.Apakah peristiwa yang menyebabkan dialog di atas dituturkan?(2 markah)
c.Apakah teknik penulisan yang digunakan dalam petikan di atas?(1 markah)

3. Tengah hari selepas kegemparan itu, Jalil pulang dari sekolah. Dia berjalan dari simpang jalan tar ke Bukit Jenun, menumpangi teduh rimbunan getah muda Ah Yau. Apabila sampai di depan rumah Pak Ngah Kadir, ayah Biah, dia terserempak dengan Kudin.

Berdasarkan petikan di atas, berikan empat latar tempat yang dipaparkan oleh penulis.

4. Di matanya air jernih tergenang. Jalil menangis. Entah mengapa hatinya berasa sedih. Susah bagi Jalil untuk menangis. Semasa arwah bapanya meninggal dunia pun dia tidak menangis. Tetapi, kali ini Jalil tewas. Ditewaskan oleh keadaan.

a.Apakah peristiwa yang menyebabkan Jalil menangis?(2 markah)
b.Jelaskan teknik plot yang digunakan oleh penulis?(2 markah)

5. Selama ini dia mengenali Biah sebagai anak gadis yang baik, rajin, dan tidak banyak bercakap. Tidak keterlaluan jika dikatakan dalam keluarga Pak Ngah Kadir, Biahlah yang mencari rezeki dengan menoreh getah.

Senaraikan perwatakan Biah berdasarkan petikan di atas.(4 markah)

6. Di surau itu dahulu diadakan majlis bubur asyura setiap tahun ketika tiba awal Muharam. Setiap penduduk kampung akan datang memeriahkan majlis itu secara bergotong-royong. Ada yang membawa tepung, gula, kayu api, dan bermacam-macam lagi. Semuanya tidak perlu dibeli.

a.Apakah nilai murni yang diamalkan oleh masyarakat dalam petikan di atas? (2 markah)
b.Berikan dua unsur Islam dalam petikan di atas.(2 markah)

7. Akhirnya, sawah padi pusaka itu bertanam juga. Hampir dua minggu Jalil mengambil masa untuk mengubah anak benih padi ke sawah. Namun, dia bersyukur kerana berhasil juga mengerjakan sawah pusakanya. Dia berasa bersalah jika sawah itu terbiar. Dia berasa bapanya memerhatikannya mengerjakan sawah warisan itu.

Nyatakan empat latar masyarakat dalam petikan di atas.(4 markah)

Skema jawapan :

1.a. Teknik pemerian
b.Tiga jenis gaya bahasa:
i.personifikasi – angin yang mencuri masuk/ hujan lebat yang turun malam tadi menempiaskan sedikit rasa kemalasan dalam diri Jalil
ii.kata ganda – celah-celah
iii.dialek Kedah – kain sentung (kain pelikat)

2.a.Muhsin
b.i.Mak Teh marah apabila Jalil bertanyakan tentang Muhsin.
ii. Muhsin dituduh melarikan Biah ke Kuala Lumpur.
c.Teknik - dialog

3.Latar tempat
i.sekolah
ii.simpang jalan tar ke Bukit Jenun
iii.kebun getah Ah Yau
iv.depan rumah Pak Ngah Kadir

4.a.i.Jalil dimarahi oleh guru Biologinya, Miss Ong.
ii. Pulang dari sekolah, Jalil dipukul curi oleh tiga orang yang tidak dikenali.
b.Teknik
i.imbas kembali - Semasa arwah bapanya meninggal dunia pun dia tidak menangis.
ii.pemerian - Di matanya air jernih tergenang. Jalil menangis.

5.Perwatakan Biah
i.Baik
ii.Rajin
iii.Tidak banyak bercakap/ pendiam
iv.Bertanggungjawab
v.Pandai/mahir/cekap menoreh getah

6.a.i.Bergotong-royong/muafakat/bekerjasama
ii. murah hati/pemurah
b.i.Surau
ii. Muharam
iii.Asyura

7.i.Masyarakat petani
ii.Masyarakat yang bersyukur
iii.Masyarakat yang berusaha gigih
iv.Masyarakat yang bertanggungjawab

Rabu, 12 Januari 2011

CERPEN GELUNGNYA TERPOKAH

SOALAN STRUKTUR

1. “Berahim anak kurang ajar,” gerutunya. “Nanti aku sesah kepalanya dengan lading malam ini. Tak boleh kepalanya aku tetak kepala bininya. Tak boleh kepala bininya aku cincang anaknya. Tak boleh anaknya aku rantas kaki kerbaunya!’

a)Berikan sebab yang menjadi punca kemarahan penutur di atas.
b)Siapakah nama penutur dialog di atas.
c)Berikan dua persoalan yang diperoleh daripada cerpen tersebut.

2.Nyatakan gaya bahasa yang sesuai dalam petikan cerpen.

a. Pijakan itu gopoh-gopoh bagaikan dikejar anjing tiga suku.
b. Pudar-pudar warna bulan menampar-nampar air di sawah.
c. “Berahim! Berahim! Mana Berahim! Aku mesti tetak dia!”
d. “Dah habeh?”

SOALAN ESEI

3.a. Berikan dua sebab yang mencetuskan konflik antara Jusoh dan Berahim
sehingga menyebabkan kedua-duanya saling bermusuhan. [4 markah]
b. Nyatakan citra masyarakat yang tergambar dalam cerpen.[10 markah]


Contoh Jawapan

1 a) sawahnya sudah kering kontang kerana gelungnya terpokah [1m]
b) Jusoh [1m]
c) Prasangka yang membawa kepada konflik sesama jiran tetangga [ 1m]
Berfikir secara rasional sebelum melakukan sesuatu tindakan [1m]
Kemiskinan hidup masyarakat petani [1m]

2.Simile [1m]
Personifikasi [1m]
Repitisi [1m]
Sinkope [1m]


3. a)Peristiwa gelung air petak sawah Jusoh telah dipokah oleh seseorang
Jusoh secara melulu menuduh Berahim melakukannya
Jusoh tidak dapat bersabar dengan kejadian tersebut kerana dia bergantung hidup pada hasil tanaman padi untuk menyara keluarga
Kerbau Berahim disimbah cuka getah oleh Jusoh
Berahim menghadapi masalah untuk mengusahakan sawah kerana kematian kerbaunya
Berahim menyimpan dendam terhadap Jusoh

b. Masyarakat petani yang hidup bergantung pada hasil pertanian
Masyarakat yang saling berdendam
Masyarakat yang prihatin
Masyarakat yang suka membuat tuduhan tanpa bukti/berprasangka
Masyarakat petani yang hidup susah

Isnin, 30 Ogos 2010

Latihan ProsaTradisional : Hikayat Cendawan Putih

Sila cuba buat latihan di bawah. Uji kemahiran dan pengetahuan anda menjawab. Kemudian, bandingkan jawapan anda dengan skema jawapan yang dicadangkan.

HIKAYAT CENDAWAN PUTIH

SOALAN STRUKTUR

1) Setelah itu maka ahli nujum itu berdatang sembahnya, ”Ya tuanku, dari penyakit paduka ayahanda terlalu rupanya, jikalau tiada seperti kata di dalam nujum hamba tiadalah sembuh.”

i) Berdasarkan petikan di atas, siapakah paduka ayahanda? (2m)

ii) Bagaimanakah cara untuk mengubati penyakit baginda? (2m)

2. a) Apakah hubungan Raden Kesuma Ningrat dengan Raden Kesuma Wati? (2m)

b) Siapakah yang ditugaskan untuk mencari ubat bagi mengubati penyakit ayahandanya?(2m)

3. Berikan 4 jenis haiwan yang terdapat dalam cerita Hikayat Cendawan Putih (4m)

4. Maka Raden Kesuma Ningrat pun berkata-kata, ia pun bertanyakan halnya kepada tuan puteri,”Apa mulanya adinda maka sampai ke mari ini. Apakah nama adinda dan nama negeri adinda?”

i) Siapakah adinda yang dimaksudkan dalam petikan? (2m)

ii) Apakah yang berlaku selepas itu? (2m)

SOALAN ESEI

1. Huraikan citra masyarakat dalam cerita Hikayat Cendawan Putih. (10m)

2. Huraikan perwatakan Raden Kesuma Ningrat. (10m)


SKEMA JAWAPAN

1) - Raja Indera Kemala Putera
- makan telur burung merpati putih yang bersarang di dalam telinga naga di atas Gunung Meraksa Dewa

2. - adik beradik berlainan ibu
- Raden Kesuma Ningrat

3. i) harimau
ii) merbah putih
iii) singa
iv) landak putih
v) landak hitam
vi) serigala
vii) naga
viii) kuda

(pilih mana-mana 4 jawapan)

4. - Tuan Puteri Pelinggam Cahaya
- Raden Kesuma Ningrat dan Puteri Pelinggam Cahaya sama-sama mencari telur burung merpati putih

SOALAN ESEI

1.
a. masyarakat /golongan raja
- contoh Tuan Puteri Ratna Sari, Tuan Puteri Pelinggam Cahaya

b. masyarakat yang bertanggung jawab
- Raden Kesuma Ningrat dan Tuan Puteri Pelinggam Cahaya sanggup bersusah payah mencari ubat untuk mengubati penyakit ayahanda mereka masing-masing.

c. masyarakat haiwan
- terdapat binatang seperti singa, harimau, landak, burung

d. masyarakat yang mempercayai tabib/dukun
- Raden Kesuma Wati amat mempercayai ramalan dukun untuk mencari ubat bagi mengubati ayahandanya

e. masyarakat yang taat akan perintah raja
- Rakyat, menteri dan hulubalang mencari ubat untuk mengubati penyakit raja mereka sehingga banyak yang terkorban

2.
a. bertanggungjawab
- contoh – baginda sanggup mencari ubat untuk mengubati ayahandanya.

b. berani
- baginda tidak takut apabila berhadapan dengan raksasa dan harimau.

c. pengasih/penyayang
- menyayangi kekandanya Raden Kesuma Wati dan ayahandanya hingga sanggup memenuhi permintaan kekandanya untuk mencari ubat bagi mengubati ayahandanya

d. prihatin
- membayarkan harga kuih yang dicuri oleh Raden kesuma Wati

e. adil- menjatuhkan hukuman kepada Raden Kesuma Wati kerana kesalahannya

Sabtu, 28 Ogos 2010

Latihan Puisi Tradisional : Syair

Sila mencuba buat latihan ini dan bandingkan dengan skema jawapan yang disediakan.

Fail dalam format Microsoft Word. Apabila tetingkap pelayar web baru muncul, pilih untuk buka fail dalam perisian Microsoft Word.

http://www.mediafire.com/?k4qa14y61f53f93

Selamat Mencuba.

Sabtu, 14 Ogos 2010

Latihan Novel Jeriji Kasih

Lima soalan struktur di bawah bertujuan menguji kemahiran pelajar mengaplikasikan konsep asas sastera dan memahirkan mereka mengenal pasti contoh daripada teks. Bentuk soalan aplikasi begini lebih menarik berbanding soalan pemahaman konsep.
Kepada pelajar, cubalah jawab dan bandingkan jawaban yang dicadangkan.


Soalan Struktur

1. ”Entahlah Leha. Aku ingat aku beruntung. Tapi rupa-rupanya cucu sendiri meratah daging aku hidup-hidup.” masih tak habis kiasan-kiasannya dihambarnya.
”Minum air mata aku. Silap-silap darah aku dihirupnya.” Nek Siah terus melepaskan rasa marah dan geram.”
(Petikan novel Jeriji Kasih)

Hiperbola merupakan satu unsur gaya bahasa. Nyatakan dua contoh hiperbola dalam petikan (4 markah)

2. Dia dan Syed Mustafa mengalas perut dengan nasi. Syed Mustafa begitu berselera walaupun hanya berlaukkan telur masin rebus dan sambal ikan bilis.
”Selalunya Nuar ke sini dengan siapa?”
”Tak dengan siapa-siapa.”
(Petikan novel Jeriji Kasih)

Huraikan dua teknik penceritaan berserta contoh dalam petikan. (4 markah)


3. ”Kalau marahkan nyamuk, janganlah kelambu dibakar. Sayangilah diri sendiri dan orang yang menyayangi kita. Jangan rosakkan masa depan kita dengan perbuatan yang tidak mendatangkan faedah hanya kerana berdendam kepada seseorang, lebih-lebih lagi, orang itu ialah ayah sendiri.”
(Petikan novel Jeriji Kasih)

Jelaskan dua pengajaran berserta contoh daripada petikan. (4 markah)

4. Syed Mustafa memerhatikan kerajinan dan kesungguhan Anuariza. Hatinya mengiakan cerita ibunya berkenaan kecekalan anak muda itu dan sedikit sebanyak dia melihat Anuariza adalah dirinya sendiri. (Petikan novel Jeriji Kasih)

Nyatakan dua perwatakan Anuariza dalam petikan. (4 markah)


5. ”Tu banyaknya ’A’. Nah! Tengok sendiri Leha.” Nek Siah menyerahkan kertas keputusan peperiksaan pada Solehah.
Solehah memandang, dia senyum tetapi air matanya deras turun.
”Tahniah, Nuar. Tahniah,” ucapnya memeluk Anuariza erat. Dicium ubun-ubun kepala Anuariza sekali.
(Petikan novel Jeriji Kasih)


Jelaskan dua persoalan dalam petikan. (4 markah)

1. i. Cucu sendiri meratah daging aku hidup-hidup 2 markah
ii. Minum air mata aku 2 markah
iii. Darah aku dihirupnya 2 markah

(maksimum 4 markah)

2. i. Pemerian 1 markah
ii. Cth : Dia dan Syed Mustafa mengalas perut dengan nasi 1 markah
iii. Dialog 1 markah
iv. Cth : ”Tak dengan siapa-siapa.” 1 markah

3. i. Kita hendaklah menyayangi diri dan keluarga 1 markah
ii. Cth : Sayangilah diri dan orang yang menyayangi kita 1 markah
iii. Kita janganlah berdendam 1 markah
iv. Cth : hanya kerana berdendam kepada seseorang 1 markah

4. i. Seorang yang rajin 2 markah
ii. Seorang yang tabah/cekal 2 markah

5. i. Persoalan kejayaan dalam hidup 1 markah
ii. Cth : Kejayaan Anuariza dalam peperiksaan 1 markah
iii. Persoalan kasih sayang seorang ibu 1 markah
iv. Cth : Solehah terharu dan memeluk Anuariza 1 markah