Mulai 2015, satu novel dipelajari iaitu Naratif Ogonshoto karya Dato' Anwar Ridhwan. Antologi teks moden (sajak, cerpen dan drama) ialah Kubentang Sebuah Peta. Teks tradisional pula ialah Nilai Insan.

Carian Blog Ini

Selasa, 23 Februari 2021

Pantun Nilai Insan - Pantun Enam Kerat

         Bawa denak bersangkar rotan,
            Di dalam semak sangkut di dahan,
              Dahan sedepa tempat gantungan,
             Nilai anak kerana ketaatan,
                Nilai emak kerana asuhan,
                  Nilai bapa kerana tanggungan.
           
            Menjelang senja ke Kampung Panggas,
                Mencari halia di dalam huma,
                 Untuk dicampurkan di dalam adunan,
            Nilai pekerja jalani tugas,
               Nilai penyelia adil saksama,
                    Nilai majikan penuh keihsanan.

           Pohon kuini di tengah pinggiran,
            Tempat terkinja si anak rusa,
               Pemburu mengepung sorak melolong,
           Nilai penghuni mesra berjiran,
               Nilai ketua bertimbang rasa,
                 Nilai sekampung tolong-menolong.
 
            Hujan sereyat di tengah hari,
              Menjemur lampin pinggir kawasan,
                 Baju kemeja dijemur sama,
             Nilai rakyat beretika diri,
              Nilai pemimpin ada wawasan,
                 Nilai raja berbudaya agama.

Maksud
Rangkap 1 Tanggungjawab dalam sesebuah keluarga, anak yang taat kepada ibu bapanya, emak yang mendidik anak-anak dan bapa yang menanggung keluarga.

Rangkap 2 Pekerja yang baik menjalankan tugas dengan baik, penyelia yang baik berlaku adil dan saksama manakala majikan yang baik bersifat ihsan kepada pekerja.

Rangkap 3 Penghuni sesuatu kawasan yang baik adalah bersikap mesra dengan jiran, ketua masyarakat yang baik bersikap bertimbang rasa dan masyarakat kampung yang baik mengamalkan tolong-menolong sesama masyarakat.

Rangkap 4 Rakyat yang baik mengamalkan etika diri, pemimpin yang baik mempunyai wawasan manakala raja yang baik mementingkan budaya beragama.

 a) Analisis bentuk puisi/ Huraikan bentuk pantun.

Puisi ini mempunyai rangkap/berangkap. Puisi ini terdiri daripada 4 rangkap. Bilangan baris setiap rangkap adalah sama. Terdapat 6 baris serangkap. Jumlah patah perkataan setiap baris tidak sama. Terdapat 3 hingga 4 patah perkataan setiap baris.  Bilangan suku kata setiap baris adalah tidak sama. Terdapat 9 hingga 11 suku kata setiap baris. Terdapat jeda di tengah baris. Cth : Dahan sedepa/tempat gantungan. Rima akhir puisi adalah berselang. Rima akhir pantun ialah abcabc.  Puisi berbentuk terikat kerana rima akhir adalah berselang abcabc. Puisi ini mempunyai pembayang dan maksud. Baris pertama, kedua dan ketiga adalah pembayang manakala baris keempat, kelima dan keenam adalah maksud. 

b) Huraikan pengajaran/mesej.

Kita hendaklah taat kepada ibu bapa. Contohnya, Nilai anak kerana ketaatan. Sebagai bapa, kita hendaklah bertanggungjawab menyara keluarga. Contohnya, Nilai bapa kerana tanggungan. Sebagai pekerja, kita hendaklah rajin/bertanggungjawab menjalankan tugas dengan baik. Contohnya, Nilai pekerja jalani tugas. Sebagai penyelia, kita hendaklah berlaku adil dan saksama kepada pekerja. Contohnya, Nilai penyelia adil saksama. Kita hendaklah bersikap mesra dengan jiran tetangga. Contohnya, Nilai penghuni mesra berjiran. Sebagai pemimpin, kita hendaklah mempunyai wawasan. Contohnya, Nilai pemimpin ada wawasan. 

c) Terangkan nilai kemanusiaan/murni.

Nilai ketaatan. Cth : Nilai anak kerana ketaatan. Nilai tanggungjawab. Cth : Nilai bapa kerana tanggungan. Nilai keadilan. Cth: Nilai penyelia adil saksama. Nilai  tolong-menolong. Cth : Nilai sekampung tolong-menolong. 

d) Huraikan tema dan persoalan.

Tema – Nilai kemanusiaan yang penting dalam peranan hidup seseorang. Penulis menggambarkan nilai-nilai kemanusiaan yang perlu ada pada setiap orang dalam menjalankan peranannya. Cth : Nilai pekerja jalani tugas, Nilai penyelia adil saksama.

Persoalan – Persoalan tanggungjawab dalam sesebuah keluarga. Contoh, Nilai bapa kerana tanggungan. Persoalan amalan baik dalam sesebuah organisasi. Contoh : Nilai majikan penuh keihsanan. Persoalan semangat kejiranan yang tinggi. Contoh : Nilai sekampung tolong-menolong.

 

Isnin, 22 Februari 2021

Pantun Empat Kerat - Kasih Jualan

       Burung kekek burung di hutan,
            Terbang naik berlegar-legar,
       Mari encik marilah tuan,
            Barang baik baru keluar.

Hari Jumaat pergi memukat,
    Orang menangguk ikan di kali,
Minta maaf belum berhajat,
   Datang menengok, bulan membeli.

         Empat lima kuda di medan, 
    Kuda tengkot ke depan juga,
        Bukan panglima rupanya tuan,
    Makanya takut masuk berniaga.

Kuda tengkot menang berlumba,
   Lompat bertangkup keempat kaki,
Mengapa takut masuk berniaga,
   Kurangkah sanggup sifat lelaki.

        Penakut sungguh rupanya ikan,
   Umpan di kail lari menepi,
        Kedekut sungguh tuan nak makan,
   Makanan baik tidak terbeli.

Kalau mengail ikan tenggiri,
    Umpan di taut ikannya bilis,
Makanan baik tidak terbeli,
   Sayang takut duitnya habis.

Air hangat air bertapis,
   Tuangkan saya agak secawan,
Sayang sangat duitnya habis,
    Kurang tenaga tidak melawan?

Pasang panjut keliling rumah,
   Bunga api di tengah laman,
Bukan kedekut, bukannya lemah,
    Cumanya hati belum berkenan.

Dari Medan ke Sibolga,
    Padi di Langkat bawa ke Deli,
        Kasih bukan barang berniaga,
   Hati tak dapat dijual beli. 

Rangkap 1 Peniaga mengalu-alukan kedatangan pelanggan kerana terdapat barangan/produk baharu dikedainya.
Rangkap 2 Pembeli menolak kerana belum berniat untuk mendapatkan barangan tersebut.
Rangkap 3 Penjual  mengatakan pelanggan bukan seorang yang berani kerana takut membeli barang jualannya.
Rangkap 4 Peniaga bertanya sama ada pelanggan takut membeli barangan kerana kurang sifat kelelakian/keberanian.
Rangkap 5 Peniaga mencabar pembeli supaya membeli makanan jualannya dengan mengatakannya kedekut.
Rangkap 6 Peniaga mencabar pembeli dgn mengatakan pembeli bimbang wangnya akan habis sedangkan barangnya baik.
Rangkap 7 Peniaga mencabar pembeli kerana berdiam diri dan mungkin bimbang kehabisan wang jika membeli barangnya.
Rangkap 8 Pembeli menyatakan ia bukan kedekut atau lemah tetapi belum berhajat kepada barangan yang dijual.
Rangkap 9 Pembeli menjelaskan bahawa keinginan dan perasaan bukan sesuatu yang boleh dipaksa oleh peniaga. 

Huraikan bentuk pantun.
Puisi ini berangkap. Puisi ini terdiri daripada 9 rangkap. Bilangan baris setiap rangkap adalah sama. Terdapat 4 baris serangkap. Jumlah patah perkataan setiap baris adalah tidak sama. Terdapat 3 hingga 5 patah perkataan setiap baris.  Bilangan suku kata setiap baris adalah tidak sama. Terdapat 8 hingga 11 suku kata setiap baris. Terdapat jeda di tengah baris. Cth : Mari encik/marilah tuan. Rima akhir puisi adalah berselang. Rima akhir pantun ialah abab.  Puisi berbentuk terikat kerana rima akhir berselang abab. Puisi ini mempunyai pembayang dan maksud. Baris pertama dan kedua adalah pembayang manakala baris ketiga dan keempat adalah maksud.

Huraikan pengajaran.
Kita hendaklah berbudi bahasa/menggunakan kata sapaan yang sesuai kepada pelanggan/menghormati pelanggan. orang lain. Cth: Mari encik marilah tuan.  
Penjual/Kita janganlah biadab/bercakap kasar/mencabar pelanggan. Cth : Bukan panglima rupanya tuan. Penjual/Kita janganlah memaksa pelanggan untuk membeli/menghina pelanggan. Cth : Kedekut sungguh tuan nak makan.
Penjual/Kita hendaklah mengambil hati/memujuk pelanggan dengan baik. Cth: Hati tak dapat dijual beli. 

Terangkan nilai kemanusiaan/murni.
Nilai kesopanan. Cth : Mari encik marilah tuan.
Nilai hormat-menghormati. Cth :
Minta maaf belum berhajat.
Nilai kasih sayang. Cth: Kasih bukan barang berniaga.
Nilai  keberanian. Cth :
Mengapa takut masuk berniaga.

Huraikan tema dan persoalan Pantun Kasih Jualan.

Tema – Adab dalam perniagaan. Penulis menggambarkan adab penjual kepada pelanggan. Cth : Mari encik, marilah tuan, Barang baik baru keluar.
Persoalan – Persoalan sikap negatif penjual dalam mendapatkan jualan. Cth:
Kedekut sungguh tuan nak makan, Makanan baik tidak terbeli.
Persoalan kesabaran dalam menghadapi sikap buruk orang lain. Cth : Bukan kedekut, bukannya lemah, Cuma hati belum berkenan



Isnin, 15 Februari 2021

Pantun Dua Kerat - Resam Hidup Manusia

Maksud Pantun

Banyak udang banyak garam,
Banyak orang banyak ragam.

Manusia mempunyai pelbagai karenah dan kemahuan.

Lain dulang lain kakinya,
Lain orang lain hatinya.

Manusia mempunyai perasaan dan sikap yang berbeza antara satu sama lain.

Lain ulu lain parang,
Lain dahulu lain sekarang.

Keadaan kehidupan yang dahulu amat berbeza dengan keadaan kehidupan masa kini.

Ada ubi ada batas,
Ada budi ada balas.

Seseorang yang membuat kebaikan, akan mendapat balasan yang baik juga.

Orang berbudi kita berbahasa,
Orang memberi kita merasa.

Apabila orang membantu kita, ucapkan terima kasih/hargai jasa mereka.  

Tak tumbuh tak melata,
Tak sungguh orang tak kata.

Sesuatu maklumat/berita pasti ada kebenarannya, barulah diperkatakan orang.

Sebab pulut santan terasa,
Sebab mulut badan binasa.

Percakapan yang kasar/buruk akan mengakibatkan bencana kepada seseorang.

Pagi petang siang malam.
Hati terang senang faham.

Orang yang terang hati akan mudah memahami setiap pekara yang diajarkan kepada mereka.

Huraikan bentuk pantun.

Puisi ini adalah berangkap. Puisi ini terdiri daripada 8 rangkap.
Jumlah baris setiap rangkap adalah sama. Terdapat 2 baris serangkap.

Jumlah perkataan setiap baris adalah tidak sama. Terdapat 4 hingga 5 patah perkataan setiap baris.

Jumlah suku kata setiap baris adalah tidak sama. Terdapat 7 hingga 11 suku kata setiap baris.
Terdapat jeda di tengah baris. Cth : pagi petang/siang malam.
Rima akhir puisi adalah sama iaitu aa.  
Puisi tersebut berbentuk terikat. Hal ini kerana rima akhir puisi adalah sama iaitu aa.
Puisi ini terdiri daripada pembayang dan maksud. Baris pertama ialah pembayang, baris kedua ialah maksud.

b) Huraikan pengajaran/mesej pantun.

Kita hendaklah berterima kasih/bersyukur atas pemberian orang lain. Cth : Orang memberi kita merasa.
Kita janganlah bercakap kasar/buruk kepada orang lain kerana akan membawa akibat buruk kepada diri sendiri. Cth : Sebab mulut badan binasa.
Kita hendaklah berbuat baik kepada orang lain kerana akan menerima balasan yang baik juga. Cth : Ada budi ada balas.
Kita hendaklah memahami dan menerima pelbagai ragam sikap manusia. Cth: Banyak orang banyak ragam.

d) Terangkan nilai kemanusiaan/nilai murni pantun tersebut.

Nilai kesyukuran. Cth : Orang memberi kita merasa. Nilai kesopanan. Cth : Sebab mulut badan binasa.
Nilai toleransi. Cth : Banyak orang banyak ragam.  Nilai  kebijaksanaan. Cth : Hati terang senang faham.

e) Huraikan tema dan persoalan. 

Tema puisi ialah pelbagai ragam hidup manusia. Penulis menggambarkan ragam manusia yang lazim dalam kehidupan. Cth : Banyak orang banyak ragam dan Lain orang lain hatinya.

Persoalan :
Percakapan kasar membawa akibat buruk kepada diri seseorang. Cth : Sebab mulut badan binasa.
Persoalan sikap menghargai bantuan/jasa orang lain. Cth : Orang memberi kita merasa.
Persoalan balasan baik kepada perbuatan baik. Cth : Ada budi ada balas.

f) Huraikan keindahan bahasa.

Anafora. Cth : Sebab pulut santan terasa, Sebab mulut badan binasa. Sinkope. Cth :Tak. 
Peribahasa. Cth : hati terang. Asonansi a. Cth : Banyak udang banyak garam. Aliterasi t. Cth : Tak tumbuh tak melata.


Selasa, 9 Februari 2021

Cerpen 00000000000

 a) Jelaskan tema dan persoalan cerpen.

Tema – Jati diri manusia yg lemah. Watak Dol mempunyai banyak peminat tetapi tidak membawa apa-apa nilai kebaikan kpd masyarakat dgn penampilannya sbg penyanyi rock ala Barat. Persoalan sikap mengagung-agungkan budaya Barat. Ramai anak muda tergila-gilakan Dol sbg penyanyi rock ala Barat. Persoalan imej/penampilan artis yg kurang sesuai. Dol meniru penampilan budaya rock Barat yg tidak membawa kebaikan kpd masyarakat.


b) Huraikan nilai murni/kemanusiaan.

Nilai patriotisme. Watak Aku dan Daiman Kreko tidak suka penampilan Barat pd watak Dol. Nilai hormat-menghormati. Watak Aku, Daiman Kreko dan Dol saling menghormati pandangan satu sama lain. Nilai kejujuran. Watak Aku dan Daiman Kreko jujur memberikan pandangan mereka ttg imej Dol melalui karya mereka. 


c) Jelaskan pengajaran.

Kita janganlah mengagung-agungkan budaya Barat. Ramai anak muda tergila-gilakan Dol sbg penyanyi rock ala Barat. Kita janganlah menjadi artis yg membawa imej/teladan kurang baik. Watak Dol menampilkan imej artis Barat yg kurang sesuai utk dicontohi oleh anak muda. Kita hendaklah menyemai nilai murni melalui seni. Dol gagal membawa penerapan nilai murni melalui penampilannya sbg artis. 


d) Huraikan binaan plot cerpen.

Permulaan. Watak  Aku sebagai pelukis bijak bermain warna dan Daiman Kreko sebagai penulis bijak bermain bahasa. Perkembangan. Daiman Kreko dan Dol, penyanyi kumpulan Mad Dog, datang ke studio Aku. Kemuncak. Daiman Kreko dan Aku gelisah dlm usaha cuba menggambarkan Dol dlm bahasa dan lukisan. Peleraian. Aku dan Daiman Kreko menghasilkan karya dengan simbol kosong kerana mendapati tiada nilai kebaikan yg dibawa oleh Dol melalui penampilannya sebagai artis rock ala Barat.


e) Huraikan perwatakan Aku.

Seorang yg pandai melukis. Aku ialah pelukis yg terkenal dgn kepandaiannya melukis. Seorang yg patriotik. Watak Aku tidak suka penampilan Barat pd watak Dol. Seorang yg jujur/suka berterus-terang. Watak Aku jujur memberikan pandangan ttg imej Dol melalui karyanya.


f) Huraikan perwatakan Daiman Kreko.

Seorang yg pandai menulis. Aku ialah penulis yg terkenal dgn kepandaiannya berbahasa. Seorang yg patriotik. Daiman Kreko tidak suka penampilan Barat pd watak Dol. Seorang yg jujur/suka berterus-terang. Daiman Kreko jujur memberikan pandangan ttg imej Dol melalui karyanya.


g) Huraikan perwatakan Dol.

Seorang yg pandai menyanyi. Dol pandai menyanyi dan terkenal sbg penyanyi kumpulan Mad Dog. Seorang yg terpengaruh budaya Barat. Dol berpenampilan Barat dlm imejnya sbg seorang penyanyi. Seorang yg selekeh. Dol berpakaian selekeh dgn rambut gondrong dan berbaju sendat. Seorang yg menghormati pandangan org lain. Dol menghormati pandangan Aku dan Daiman Kreko terhadap imejnya sbg artis ala Barat.


h) Huraikan unsur suspens dan unsur kejutan dalam cerpen.

Unsur suspens - Peristiwa Aku /Daiman Kreko cuba menggambarkan Dol dlm bahasa dan lukisan. Pembaca tertanya-tanya bagaimanakah gambaran imej Dol yg akan dihasilkan. Unsur kejutan – Aku dan Daiman Kreko menghasilkan karya dengan simbol kosong. Pembaca terkejut kerana tidak menyangka hanya simbol kosong yg ditulis dan dilukis. 


i) Jelaskan sumbangan dan peranan Shahnon Ahmad. 

Profesor Emeritus Dato’ Shahnon Ahmad merupakan seorang Sasterawan Negara. Beliau berasal dari Kedah. Beliau banyak menghasilkan cerpen, novel dan kritikan sastera. Novelnya yg terkenal ialah Ranjau Sepanjang Jalan dan Rentong.





Khamis, 4 Februari 2021

Cerpen Gulai Sembilang Untuk Abah

a) Jelaskan tema dan persoalan cerpen.
Tema cerpen ialah pengorbanan anak utk kebahagiaan keluarga/bapa. Averah berkorban dgn menolak tawaran belajar di luar negara/menolak cinta Dr. Lokeman yg tinggal di kota, supaya dapat selalu menemani ayahnya di kampung.

Persoalan kasih sayang sesama ahli keluarga. Averah menyayangi ibu dan ayahnya.Averah sedih apabila ibunya meninggal dunia. Persoalan keinsafan akan kesalahan diri. Along dan Angah menyesal kerana gagal menunaikan permintaan bapa mereka. Persoalan ketaatan kpd agama. Averah mengejutkan ayahnya utk solat Subuh. 

b) Huraikan nilai murni/nilai kemanusiaan.
Nilai kasih sayang.Averah menyayangi ibu/ayahnya.Averah sedih ibunya meninggal dunia.Nilai tanggungjawab. Averah bertanggungjawab menjaga ayah yg tua. Nilai ketaatan.Averah taat pada agama, menunaikan solat Subuh. Nilai keprihatinan. Averah prihatin hasrat ayah dgn menyediakan masakan gulai sembilang untuk ayah. 

c) Jelaskan pengajaran.

Kita hendaklah menyayangi ibu bapa. Averah amat menyayangi ayahnya. Dia selalu balik kampung utk menjaga ayahnya. Kita hendaklah taat pada agama. Averah mengejutkan bapa untuk solat Subuh bersama. Kita janganlah berselisih faham antara adik-beradik. Along dan Angah yang lama tidak bertegur sapa kembali berdamai semasa makan malam keluarga. Kita hendaklah bertanggungjawab atau sanggup berkorban untuk ibu bapa. Contohnya, Averah sanggup bekerja dekat dengan kampung dan menolak cinta Dr. Lokeman kerana ingin fokus menjaga ayahnya.

 d) Huraikan binaan plot cerpen.
Permulaan. Averah mengimbas kembali peristiwa pada suatu malam, seluruh keluarganya dapat berkumpul untuk makan bersama. Perkembangan. Averah sedih ibunya meninggal dunia tetapi dia sanggup berkorban utk meluangkan masa menemani bapanya di kampung. Kemuncak. Bapanya meminta semua anaknya pulang makan malam sekeluarga tetapi Along dan Angah tidak dapat balik kampung kerana sibuk. Peleraian. Averah terkejut kerana ayahnya meninggal dunia pada keesokan pagi manakala Along dan Angah berasa kesal tidak pulang ke kampung lebih awal.

 e) Huraikan perwatakan Averah.
Seorang yg penyayang. Averah menyayangi ibu dan ayahnya. Averah bersedih apabila ibunya meninggal dunia. Seorang yg bertanggungjawab. Averah bertanggungjawab selalu menemani ayahnya di kampung. Seorang yg sanggup berkorban. Averah berkorban dgn memohon penempatan kerja dekat dgn kampung/ menolak cinta Dr. Lokeman supaya dapat selalu menemani ayah di kampung. Seorang yg taat pd agama. Averah taat pada agama dgn menunaikan solat Subuh. Seorang yg bijak. Averah seorang lulusan universiti dan bekerja sebagai doktor.

 f) Huraikan peranan Averah.
Sebagai anak. Averah satu-satunya anak perempuan dlm keluarganya. Sebagai doktor. Averah bertugas sbg doktor. Sebagai pemulih semangat. Averah selalu menemani ayahnya yg selalu kesunyian setelah kematian isteri. Sebagai adik. Averah merupakan adik perempuan kpd Along, Angah dan Acik.

 g) Nyatakan tindakan Averah yang wajar dicontohi.
Averah amat menyayangi ayah dan ibu. Dia selalu meluangkan masa utk menemani ayahnya. Averah sanggup berkorban menolak belajar di luar negara supaya dapat menemani ayahnya yg tua. Averah taat pada agama. Averah bangun awal pagi dan mengejutkan ayahnya untuk solat Subuh bersama. Averah bertanggungjawab kpd ibu bapa. Averah sanggup menolak cinta Dr. Lokeman supaya dapat memberi tumpuan menjaga bapanya yg tua di kampung. 

h) Huraikan latar masa.
Waktu malam. Averah dan keluarganya makan malam sekeluarga dgn menu istimewa masakan gulai sembilang. Tiga bulan. Ibu Averah meninggal dunia tiga bulan selepas makan malam istimewa sekeluarga. Waktu Subuh. Ayah meninggal dunia pada waktu Subuh semasa Averah ingin mengejutkannya. Waktu pagi. Along dan Angah pulang pada waktu pagi dgn perasaan kesal setelah mengetahui ayah mereka meninggal dunia.

 i) Huraikan unsur pengorbanan dalam cerpen ini/Huraikan nilai pengorbanan dalam cerpen.
Watak utama ialah Averah. Averah amat menyayangi ayahnya dan melakukan pengorbanan untuk kebahagian bapanya. Pengorbanan dalam pelajaran. Averah berkorban dgn menolak tawaran belajar di luar negara supaya boleh selalu menemani ayahya. Pengorbanan dalam cinta. Averah berkorban dgn menolak cinta Dr. Lokeman kerana percaya Dr. Lokeman tidak sanggup tinggal di kampung. Pengorbanan dalam kerjaya. Averah berkorban dgn bertugas sbg doktor berdekatan dgn kampung supaya tidak berjauhan dgn ayahnya.

 j) Huraikan sudut pandangan cerpen. Nyatakan kelebihan sudut pandangan tersebut.
Sudut pandangan orang pertama. Pengarang bercerita dgn menggunakan ganti nama diri pertama “Aku”. Pengarang menggunakan sudut pandangan orang pertama supaya dapat menggambarkan aksi,dialog,pemikiran dan perasaan watak utama.

 

Rabu, 3 Februari 2021

Teknik Menjawab Persoalan Siri 2

Ada pelajar yang menjawab seperti berikut :
1. Persoalan seorang anak yang insaf menderhaka kepada ibu bapa.
2. Persoalan seorang ibu tunggal yang gigih menyara hidup keluarga.
3. Persoalan rakyat yang patuh kepada raja.
4. Persoalan masyarakat yang bertindak melanggar undang-undang.
5. Persoalan mat rempit yang mengganggu ketenteraman.

Apakah kesilapan yang dilakukan? Ya, perkataan seorang. atau ganti nama. Kata seorang atau ganti nama itu kita gunakan apabila menghuraikan perwatakan watak. Persoalan bukan watak. Persoalan merujuk isu yang diutarakan dalam karya. Maka, isu yang perlu dinyatakan dahulu. Oleh itu, pelajar seharusnya menulis seperti berikut :
1. Persoalan keinsafan anak yang derhaka terhadap ibu bapa.
2. Persoalan kegigihan dalam menyara keluarga.
3. Persoalan ketaatan rakyat kepada raja.
4. Persoalan sikap suka melanggar undang-undang.
5. Persoalan gangguan ketenteraman oleh mat rempit.

Kata kerja juga bukan menggambarkan isu atau persoalan tetapi kata nama. Bagaimanapun, adakalanya ada kata kerja juga boleh berdiri sebagai kata nama. Contohnya : cinta. Persoalan cinta akan tanah air diterima kerana dalam bahasa Melayu normatif, jarang kita berbahasa menggunakan frasa- kecintaan akan tanah air.

Begitu juga, dalam bahasa Melayu normatif, jarang kita temukan persoalan penepatian janji, maka frasa persoalan menepati janji adalah diterima. Jelasnya, terdapat frasa kerja yang boleh diterima sebagai persoalan mengikut norma pengunaan normatif bahasa Melayu. 
Bagaimanapun, kekecualian adalah kes-kes terpencil.

Sebab pada kelazimannya, kita menggunakan perkataan tertentu bagi mengubah frasa kerja menjadi frasa kata nama. Berikut ialah contoh-contoh lazim yang boleh menjadi panduan pelajar. 

1. Persoalan menghormati tetamu. (kurang tepat)
Persoalan amalan menghormati tetamu.(tepat)
2. Persoalan berjudi dalam masyarakat (kurang tepat)
Persoalan perjudian /aktiviti judi dalam masyarakat (tepat)
3. Persoalan menzalimi orang miskin. (kurang tepat)
Persoalan kezaliman terhadap orang miskin. (tepat)

Begini juga, tepat apabila isu yang diutarakan oleh karyawan melibatkan sebab-akibat.
4. Persoalan penderitaan hidup akibat kemiskinan.(tepat)
5. Persoalan kemusnahan alam sekitar akibat pembangunan. (tepat)
6. Persoalan kesusahan hidup akibat wabak penyakit. (tepat)



Selasa, 2 Februari 2021

Teknik Menjawab Persoalan Siri 1

Salah satu kelemahan calon ialah menjawab soalan tentang persoalan karya. Misalnya, persoalan dalam novel, cerpen atau drama. Salah satu kesilapan utama calon ialah menjawab persoalan sebagai nilai murni atau nilai kemanusiaan. Bagaimanakah contoh kesilapan yang lazim? Kita lihat contoh di bawah.

Terdapat persoalan kasih sayang dalam novel ini. (Diikuti contoh)
Persoalan ketabahan dipaparkan dalam cerpen. (Diikuti contoh)
Pengarang memaparkan persoalan sikap prihatin dalam drama ini. (Diikuti contoh)
Juga, persoalan kebijaksanaan. (Diikuti contoh)

Kesemua jawaban di atas adalah kurang tepat. Sebabnya, nilai kasih sayang, nilai kerajinan, nilai prihatin dan nilai kebijaksanaan yang dinyatakan. Nilai bukannya persoalan. Sepatutnya, persoalan lebih jelas dan berbentuk frasa. Contoh jawapan yang dibetulkan:

Terdapat persoalan kasih sayang antara anak dan ibu bapa dalam novel ini. (Diikuti contoh)
Persoalan ketabahan menghadapi cabaran hidup dipaparkan dalam cerpen ini. (Diikuti contoh)
Pengarang memaparkan persoalan sikap prihatin guru terhadap murid. (Diikuti contoh)
Juga, persoalan kebijaksaaan mengalahkan musuh dalam cerita ini. (Diikuti contoh)

Selain itu, contoh-contoh persoalan berikut juga adalah kurang tepat walaupun ungkapan itu bukan nilai. Sebabnya, ungkapan itu hanya satu perkataan sahaja. Persoalan haruslah menyatakan isu dalam karya secara tepat sebagaimana yang ingin disampaikan melalui karya tersebut. Lihat contoh :
Persoalan fitnah terdapat dalam cerpen ini. (Diikuti contoh) Kurang tepat.
Terdapat persoalan kemiskinan. (Diikuti contoh) Kurang tepat.
Terdapat persoalan geran tanah dalam novel. (Diikuti contoh) Kurang tepat.
Persoalan adat turut dipaparkan. (Diikuti contoh) Kurang tepat.
Juga, persoalan kedamaian. (Diikuti contoh) Kurang tepat.

Sewajarnya, begini yang diujarkan oleh pelajar :
Persoalan sikap suka memfitnah orang lain terdapat dalam cerpen ini. (Diikuti contoh)
Terdapat persoalan kemiskinan masyarakat luar bandar. (Diikuti contoh)
Terdapat persoalan perebutan harta dalam novel ini. (Diikuti contoh)
Persoalan amalan mementingkan adat turut dipaparkan. (Diikuti contoh)
Juga, persoalan inisiatif dalam mewujudkan kedamaian. (Diikuti contoh)