Mulai 2015, satu novel dipelajari iaitu Naratif Ogonshoto karya Dato' Anwar Ridhwan. Antologi teks moden (sajak, cerpen dan drama) ialah Kubentang Sebuah Peta. Teks tradisional pula ialah Nilai Insan.

Carian Blog Ini

Selasa, 23 Februari 2021

Pantun Nilai Insan - Pantun Enam Kerat

         Bawa denak bersangkar rotan,
            Di dalam semak sangkut di dahan,
              Dahan sedepa tempat gantungan,
             Nilai anak kerana ketaatan,
                Nilai emak kerana asuhan,
                  Nilai bapa kerana tanggungan.
           
            Menjelang senja ke Kampung Panggas,
                Mencari halia di dalam huma,
                 Untuk dicampurkan di dalam adunan,
            Nilai pekerja jalani tugas,
               Nilai penyelia adil saksama,
                    Nilai majikan penuh keihsanan.

           Pohon kuini di tengah pinggiran,
            Tempat terkinja si anak rusa,
               Pemburu mengepung sorak melolong,
           Nilai penghuni mesra berjiran,
               Nilai ketua bertimbang rasa,
                 Nilai sekampung tolong-menolong.
 
            Hujan sereyat di tengah hari,
              Menjemur lampin pinggir kawasan,
                 Baju kemeja dijemur sama,
             Nilai rakyat beretika diri,
              Nilai pemimpin ada wawasan,
                 Nilai raja berbudaya agama.

Maksud
Rangkap 1 Tanggungjawab dalam sesebuah keluarga, anak yang taat kepada ibu bapanya, emak yang mendidik anak-anak dan bapa yang menanggung keluarga.

Rangkap 2 Pekerja yang baik menjalankan tugas dengan baik, penyelia yang baik berlaku adil dan saksama manakala majikan yang baik bersifat ihsan kepada pekerja.

Rangkap 3 Penghuni sesuatu kawasan yang baik adalah bersikap mesra dengan jiran, ketua masyarakat yang baik bersikap bertimbang rasa dan masyarakat kampung yang baik mengamalkan tolong-menolong sesama masyarakat.

Rangkap 4 Rakyat yang baik mengamalkan etika diri, pemimpin yang baik mempunyai wawasan manakala raja yang baik mementingkan budaya beragama.

 a) Analisis bentuk puisi/ Huraikan bentuk pantun.

Puisi ini mempunyai rangkap/berangkap. Puisi ini terdiri daripada 4 rangkap. Bilangan baris setiap rangkap adalah sama. Terdapat 6 baris serangkap. Jumlah patah perkataan setiap baris tidak sama. Terdapat 3 hingga 4 patah perkataan setiap baris.  Bilangan suku kata setiap baris adalah tidak sama. Terdapat 9 hingga 11 suku kata setiap baris. Terdapat jeda di tengah baris. Cth : Dahan sedepa/tempat gantungan. Rima akhir puisi adalah berselang. Rima akhir pantun ialah abcabc.  Puisi berbentuk terikat kerana rima akhir adalah berselang abcabc. Puisi ini mempunyai pembayang dan maksud. Baris pertama, kedua dan ketiga adalah pembayang manakala baris keempat, kelima dan keenam adalah maksud. 

b) Huraikan pengajaran/mesej.

Kita hendaklah taat kepada ibu bapa. Contohnya, Nilai anak kerana ketaatan. Sebagai bapa, kita hendaklah bertanggungjawab menyara keluarga. Contohnya, Nilai bapa kerana tanggungan. Sebagai pekerja, kita hendaklah rajin/bertanggungjawab menjalankan tugas dengan baik. Contohnya, Nilai pekerja jalani tugas. Sebagai penyelia, kita hendaklah berlaku adil dan saksama kepada pekerja. Contohnya, Nilai penyelia adil saksama. Kita hendaklah bersikap mesra dengan jiran tetangga. Contohnya, Nilai penghuni mesra berjiran. Sebagai pemimpin, kita hendaklah mempunyai wawasan. Contohnya, Nilai pemimpin ada wawasan. 

c) Terangkan nilai kemanusiaan/murni.

Nilai ketaatan. Cth : Nilai anak kerana ketaatan. Nilai tanggungjawab. Cth : Nilai bapa kerana tanggungan. Nilai keadilan. Cth: Nilai penyelia adil saksama. Nilai  tolong-menolong. Cth : Nilai sekampung tolong-menolong. 

d) Huraikan tema dan persoalan.

Tema – Nilai kemanusiaan yang penting dalam peranan hidup seseorang. Penulis menggambarkan nilai-nilai kemanusiaan yang perlu ada pada setiap orang dalam menjalankan peranannya. Cth : Nilai pekerja jalani tugas, Nilai penyelia adil saksama.

Persoalan – Persoalan tanggungjawab dalam sesebuah keluarga. Contoh, Nilai bapa kerana tanggungan. Persoalan amalan baik dalam sesebuah organisasi. Contoh : Nilai majikan penuh keihsanan. Persoalan semangat kejiranan yang tinggi. Contoh : Nilai sekampung tolong-menolong.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan