Mulai 2015, satu novel dipelajari iaitu Naratif Ogonshoto karya Dato' Anwar Ridhwan. Antologi teks moden (sajak, cerpen dan drama) ialah Kubentang Sebuah Peta. Teks tradisional pula ialah Nilai Insan.

Carian Blog Ini

Sabtu, 23 Januari 2021

LATIHAN SOALAN STRUKTUR (CERPEN)

1.  Pak Yasok mengangkat muka dari meja kerja di depan jendela. Dia memandang sebuah kereta Kembara JFX995 yang membelok masuk ke halaman rumahnya. Siapakah yang ke mari dalam hujan-hujan begini? Berdetik di dalam hati kecil Pak Yasok. Kereta itu masuk ke halaman rumahnya. Enjin dimatikan dan seorang anak gadis dengan memikul beg sandang berlari ke beranda rumahnya. Dia termengah-mengah mengesat kepalanya yang basah dan sedikit lembap oleh rembesan hujan.

a)      Jelaskan unsur suspens  dalam petikan.  [2 markah]
b)      Huraikan dua teknik penceritaan/plot dalam petikan. [2 markah]


2.  Konflik ini hanyalah dalam diri saya. Tetapi saya rasa terpukul dengan kata-katamu. Benarkah saya ini hanya seorang rafik buatmu? Izinkan saya perjelaskan, saya tidak mampu lagi untuk menjadi sorang rafik tanpa sekeping hati. Perbincangan hangat kita tentang tentang Pedra Branca, memperjelas kedudukan hati saya pada naluri seorang rafik. Bagaimana mungkin saya menjadi seorang rafik lagi apabila hati saya ini telah dibawa pergi jauh ke jantung semenanjung.

a) Nyatakan dua sebab watak saya mengatakan dia tidak mampu menjadi seorang rafik lagi.  [2 markah]
b) Apakah maksud konflik? Nyatakan jenis konflik dalam petikan.  [2 markah]


3.  “Saya tidak berilmu, sebab itu saya mahu beramal walaupun sekecil-kecilnya amalan saya itu. Itu lebih baik daripada saya banyak berilmu tetapi tidak beramal.” Pemuda itu sedikit kesal mengeluarkan kata-katanya yang mungkin menyinggung profesor yang mahu mengajarnya itu. Walau bagaimanapun, profesor itu lebih kesal lagi. Dia datang beribu-ribu kilometernya untuk mengkaji. Sedang anak muda yang tidak berwibawa itu juga datang beribu-ribu kilometer jauhnya, hanya untuk beramal.

a)      Nyatakan satu perbezaan watak antara pemuda dan profesor.  [2 markah]
b)       Nyatakan satu pengajaran dalam petikan.   [2 markah]



4.  “Belum,” balas guru itu. “Belum ada kajian alam sekitar untuk projek itu. Aku tahu. Para kapitalis dari Turki, Jepun, dan Jerman itu berfikir mereka boleh berbuat sesuka hati di Ogonshoto asalkan mempunyai wang. Kelak, apabila kajian alam sekitar diumumkan, barulah mereka tahu. Mereka terpaksa keluar dari pedalaman Kuri, dari Ogonshoto ini tanpa menebang walau sebatang pokok pun di hutan kita ini.”

a)      Jelaskan satu nilai kemanusiaan dalam petikan.  [2 markah]
b)      Nyatakan satu mesej dalam petikan.   [2 markah]


5. Pernah kaukata, kes kami akan kaubawa ke meja seminar antarabangsa. Katamu, di situ akan kaukecam budaya hidup manusia moden yang suka mencemar dan membuang kotoran ke laut. Hendak engkau tentang penerokaan tanah hutan kerana tanah merah yang terhakis dari situ mengeruhkan biru laut. Hendak engkau tentang pembuangan najis ke laut yang busuknya setahun pelayaran. Kaumahu lanun-lanun yang mencuri karang-karang laut dari terumbu induk disumbat ke penjara seumur hidup mereka.


a) Nyatakan dua pengajaran dalam petikan.   [4 markah]
b) Nyatakan satu persoalan dalam petikan.    [2 markah]
c) Jelaskan dua nilai murni yang terdapat pada watak engkau.  [4 markah]
d) Jelaskan sudut pandangan dalam cerpen.  [4 markah]

6.    Sementara anak-anak muda juga dilantik mengganggotai lembaga masjid. “Ini untuk menjadi pelapis,” kata Pak Mid yang berpandangan jauh ke hadapan.

      Dan hari ini aku melihat kampungku cukup aman, maju dan bersepadu penduduknya. Tidak lagi kedengaran panggilan-panggilan menghina dalam kalangan masyarakatnya. Yang ada ialah perpaduan. Berat hatiku hendak meninggalkan kampung halamanku apabila aku lulus nanti.

a) Nyatakan dua latar masyarakat  dalam petikan.  [2 markah]
b) Nyatakan  dua mesej dalam petikan.   [2 markah]

7.  Malam itu Sharifah tidak tidur. Dia berniat untuk sedekahkan baju-baju yang baru siap itu kepada saudara-maranya di kampung. Dia akan hubungi Mak Lijah tukang jahit dan Mek Nab tukang masak mereka. Dia akan berpakaian seperti Mek Nab supaya masyarakat dapat dikaitkan dengannya. Kalau Abang Said meragam, malu berjalan dengannya selepas ini, dia akan berserah kepada takdir. Dia tidak boleh menggembirakan semua orang. Imej Abang Said harus dijaga agar jangan dikata orang lagi. Begitulah kasih seorang isteri.

a) Nyatakan satu perwatakan Sharifah berserta contoh.  [2 markah]
b) Nyatakan dua peranan Sharifah.   [2 markah]


8.    Aku tidak mahu tersilap lagi. Aku ingin memohon maaf pada Rosa. Aku sudah terbiasa dan terlatih untuk menjadi seorang yang berterus-terang. Aku punya amanah yang perlu disampaikan kepada setiap warga watanku. Aku hanya menyampaikan sesuatu yang benar. Lantas aku tidak pantas berkias dalam bicaraku. Sifat kewartawananku memilih fakta-fakta bila, di mana, siapa, mengapa, bagaimana dan apa dalam menyampaikan berita. Tidak cukup ruang untuk kuselitkan emosi buat penyedap cerita.

a)  Nyatakan dua nilai kemanusiaan dalam petikan.  [2 markah]
b)  Berikan dua perwatakan Aku.   [2 markah]


9.  Bagi Pak Mid, usaha dan doa kepada Allah adalah penting jika mahu berjaya dalam apa-apa jua yang dicita-citakan. Dia tidak mudah melatah dengan perli dan sindiran orang lain. Bagi dirinya, semua penduduk kampung ialah saudaranya. Oleh itu, dia tidak sedikit pun menaruh sangka buruk terhadap mereka. Dia terus bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dia sudah berjaya.

a) Nyatakan dua persoalan dalam petikan. [4 markah]
b) Nyatakan dua pengajaran.  [4 markah]


10. Sahat membayangkan setiap hari Bukit Emas bakal digondolkan untuk diniagakan tanah kuning dan batu-batannya. Sahat membayang keadaan setiap pokok durian, pokok rambutan, cempedak, dan langsat penduduk Kampung Kuah yang menghijau di Bukit Emas akan tumbang menyembah bumi. Selama ini pokok buah-buahan di Bukit Emas telah menjadi punca rezeki mereka dan menjadi pemikat orang luar termasuk pelancong berkunjung ke Kampung Kuah di kaki Bukit Emas.

a) Nyatakan dua latar tempat berserta contoh dalam petikan. [4 markah]
b) Nyatakan satu teknik plot /penceritaan dalam petikan.  [2 markah]



Isnin, 20 Februari 2017

Drama Mat Piah dan Mr. Blackway

a) Jelaskan pemikiran dan persoalan drama.
Pemikiran - Tipu muslihat penjajah terhadap pemerintah dan rakyat. Francis Light menggunakan tipu muslihat untuk mendapatkan Pulau Pinang daripada Sultan Kedah. Inggeris membuat perjanjian dengan Sultan Muhammad Jiwa dan berjanji akan memberikan bantuan ketenteraan kepada kerajaan Kedah daripada serangan Bugis. Namun, pihak Inggeris tidak membantu Kedah apabila Bugis menyerang Kedah.
Persoalan semangat patriotik yang tinggi dlm diri. Mat Piah kecewa dengan sikap pihak Inggeris yg menindas dan merampas hasil bumi tanah air. Persoalan kejujuran terhadap kebenaran. Blackway memberitahu Mat Piah bhw Francis Light sebenarnya menipu Sultan Kedah utk mendapatkan Pulau Pinang. Persoalan sikap tidak menepati janji. Pihak Inggeris tidak menepati janji untuk melindungi Kedah daripada serangan Siam dan Burma.

b) Huraikan nilai murni/kemanusiaan.
Nilai patriotisme.  Mat Piah kecewa dgn penjajah Inggeris yg membuat tipu helah/merampas hasil bumi tanah air. Nilai kejujuran. Blackway memberitahu Mat Piah bhw Francis Light sebenarnya menipu Sultan Kedah utk mendapatkan Pulau Pinang. Nilai keinsafan. Blackway insaf kesalahan pihak Inggeris yg pernah menipu dan menindas orang Melayu.  Nilai kegigihan. Mat Piah gigih bekerja sbg penarik beca untuk menyara kehidupannya.

c) Jelaskan pengajaran.
Kita hendaklah gigih bekerja/mencari rezeki. Mat Piah gigih bekerja sebagai penarik beca. Kita hendaklah mempunyai semangat patriotik. Mat Piah marah atas penipuan pihak Inggeris semasa menjajah tanah air. Kita hendaklah insaf atas kesalahan.  Blackway memohon maaf atas penipuan yang dilakukan pihak Inggeris menindas dan menipu pemerintah Melayu. Kita janganlah mungkir janji/menipu orang lain. Pihak Inggeris menipu dan enggan menepati janji membayar pajakan kepada Sultan Kedah. Kita hendaklah berhati-hati apabila membuat perjanjian/ rundingan dgn pihak lain. Pihak Inggeris pernah menipu perjanjian dgn Sultan Kedah apabila memajak Pulau Pinang.

d) Huraikan unsur sejarah dalam drama.
Watak/tokoh bersejarah. Francis Light dan Sultan Muhammad Jiwa.  
Latar tempat bersejarah. Pulau Pinang dan Kedah.            
Latar masa bersejarah. Zaman penjajahan Inggeris di Tanah Melayu/ 1786.
Peristiwa bersejarah. Peristiwa Francis Light mendapatkan Pulau Pinang daripada Sultan Kedah.

e) Huraikan konflik antara watak dalam drama.     
Konflik antara Mat Piah dan Blackway. Mat Piah kecewa kerana Blackway antara penjajah Inggeris yg menipu untuk mendapatkan Pulau Pinang drp Sultan Kedah. Konflik antara Francis Light dan Sultan Kedah. Francis Light menipu pembesar Melayu dalam mendapatkan Pulau Pinang drp Sultan Kedah.

f) Huraikan perwatakan Blackway.
Seorang yg jujur. Blackway jujur bercerita bhw pihak Inggeris menipu pembesar Melayu untuk mendapatkan hasil. Seorang yg insaf. Blackway insaf kesalahan pihak Inggeris menindas dan kejam kpd orang Melayu. Seorang penipu. Blackway terlibat dengan Francis Light menipu pembesar Melayu dalam mendapatkan Pulau Pinang dp Sultan Kedah. Seorang yg penakut. Blackway ketakutan apabila mendengar mat rempit membuat bising di jalan raya.

g) Huraikan perwatakan Mat Piah.
Seorang yg bijak. Mat Piah penarik beca tetapi boleh bertutur bahasa Inggeris. Seorang yg pemarah.  Mat Piah marah apabila mengetahui peristiwa sebenar bhw pihak Inggeris menggunakan tipu helah untuk mendapatkan Pulau Pinang daripada Sultan Kedah. Seorang yg patriotik. Mat Piah kecewa dengan sikap penjajah yang kejam dan menipu untuk merampas hasil bumi tanah air. Seorang yg gigih bekerja. Mat Piah gigih bekerja sbg penarik beca.

h) Huraikan kritikan sosial/kritikan terhadap masyarakat/gejala negatif dalam drama.
Kritikan thdp masyarakat yg hidup mementingkan keseronokan.  Pada waktu dinihari, ramai lelaki dan perempuan keluar dari hotel berpakaian beragam dan ada yg mabuk. Kritikan thdp masyarakat yg tidak mematuhi undang-undang. Sekumpulan mat rempit menunggang motosikal secara laju di jalan raya dan membahayakan keselamatan mereka. Kritikan thdp masyarakat yang suka menipu. Penjajah Inggeris menggunakan tipu muslihat untuk mendapatkan Pulau Pinang daripada Sultan Kedah. Kritikan thdp masyarakat yg suka mungkir janji. Pihak Inggeris menipu dan enggan menepati janji membayar pajakan kepada Sultan Kedah.         

i) Huraikan latar masa dan latar tempat dlm drama.
Latar Masa : Dinihari/Jam 2.32 pagi.  Mat Piah berada di atas beca menunggu pelanggan di hadapan Hotel E&O.
Jam 3.00 pagi. Mat Piah mengayuh beca membawa Mr. Blackway ke sekitar bandar Georgetown./Mat  Piah  telah  membawa  Blackway  menaiki beca ke Padang  Kota  Lama dan berhenti di Fort Cornwallis.
Jam 4.00 pagi. 
Blackway menceritakan peristiwa Francis Light mengambil Pulau Pinang daripada Sultan Kedah kepada Mat Piah.
Latar Tempat : Hadapan pintu Hotel E&O. Mat Piah berada di atas beca menunggu pelanggan di hadapan pintu Hotel E&O. 
Georgetown. Mat Piah mengayuh beca membawa Mr. Blackway ke sekitar bandar Georgetown.
Padang  Kota  Lama/Fort Cornwallis.  Mat  Piah  telah  membawa  Blackway  menaiki beca ke Padang  Kota  Lama dan berhenti di Fort Cornwallis.
Pentas. Blackway menceritakan peristiwa Francis Light mengambil Pulau Pinang daripada Sultan Kedah kepada Mat Piah.

Isnin, 7 November 2016

Cerpen Anak-Anak Suria

Cerpen Zaharah Nawawi ini mengundang rasa terkejut dalam kalangan pelajar apabila didapati bahawa Suria sebenarnya ialah kucing peliharaan Amanani dan Hakim. Pada permulaan cerpen, pembaca menyangka bahawa Suria ialah anak kandung Amanani dan Hakim kerana cara mereka menjaga dan melayan Suria serta respons Suria yang sangat manja. Kejutan juga apabila mendapati Ayu, pembantu rumah mereka yang sangat prihatin dan penyayang, rupa-rupanya membunuh anak-anak Suria iaitu Manja, Bayu, Didi. Soalan yang tidak terjawab hingga ke akhir ialah motif Ayu berbuat demikian.

1. Jelaskan tema cerpen.
2. Huraikan persoalan-persoalan cerpen.
3. Jelaskan nilai murni dalam cerpen.
4. Berikan teknik suspens dan teknik kejutan dalam cerpen.

Perbincangan jawapan

Sebelum membincangkan jawapan, wajar dilihat isi cerpen ini yang menjurus kepada penekanan kasih sayang yang amat tinggi kepada haiwan sejak mula ke akhir cerpen. Watak antagonis cerpen iaitu Ayu ditonjolkan sebagai manusia yang kejam, sanggup membunuh kucing-kucing jagaannya padahal di hadapan Amanani dan Hakim, dia amat penyayang terhadap haiwan. Aspek undang-undang haiwan turut dinyatakan tentang hukuman terhadap sesiapa yang berlaku kejam terhadap haiwan. Maka, jelas isu utama ialah kasih sayang manakala sikap manusia yang suka berpura-pura, kekejaman manusia terhadap haiwan dan hak haiwan di sudut undang-undang ialah isu sampingan

1.Tema cerpen ialah kasih sayang manusia terhadap haiwan. Amanani dan Hakim amat menyayangi Suria, kucing peliharaan mereka bagaikan anak sendiri.

2. Persoalan kekejaman manusia terhadap haiwan. Ayu sanggup membunuh anak-anak kucing majikannya dengan cara melemaskannya dalam plastik dan membuangnya ke tong sampah. Juga, persoalan sikap manusia yang suka berpura-pura iaitu Ayu yang tidak jujur menjaga kucing-kucing tuannya. Ia berpura-pura penyayang terhadap kucing di hadapan majikannya sahaja. Persoalan kekejaman manusia terhadap haiwan. Ayu berlaku kejam dengan membunuh anak-anak kucing seperti Manja dan Bayu.

3. Nilai kasih sayang. Nilai prihatin. Nilai kejujuran. (Contoh huraian boleh diambil seperti dalam soalan 2)

4. Teknik suspens dapat dilihat pada peristiwa Amanani mendengar bunyi kucing dari tong sampah. Pembaca tertanya-tanya akan perkara sebenar yang sedang berlaku. Teknik kejutan pula pada peristiwa pengakuan Ayu bahawa ia yang membuang anak kucing ke tong sampah. pembaca berasa terkejut kerana tidak menyangka bahawa Ayu yang penyayang sanggup berbuat demikian.



Rabu, 26 Oktober 2016

Latihan Struktur Jeriji Kasih

LATIHAN STRUKTUR JERIJI KASIH

1.  “Astaghfirullahalazim, mengucap Fariz. Bukan sebab itu mama pergi, tapi kerana ajalnya sudah sampai. Sudah lama dia menderita, Fariz sendiri tahu kan? Pelbagai rawatan sudah diikhtiarkan termasuk pembedahan dan kemoterapi. Tetapi, sudah ajalnya meninggal dunia sebelum sempat bertemu ayah, Fariz.” Muka surat 32
a)      Nyatakan dua pengajaran dalam petikan.
b)      Nyatakan dua persoalan dalam petikan.

Jawapan :
 a) Kita hendaklah berusaha berubat apabila sakit. Kita hendaklah reda akan ketentuan takdir.
b) Persoalan usaha merawat atau berubat apabila sakit. Persoalan keredaan akan takdir/qada dan qadar.

 2.  “Nuar sudah berusaha, emak dan adik dah turut berdoa. Selebihnya serahkan pada Allah. Jika dia menghendaki Nuar cemerlang, syukur alhamdulillah, tapi jika sebaliknya, pasrahlah kepada Allah. Pasti ada hikmah disebaliknya. Kembalilah kita kepada qadak dan qadar allah.” Muka surat 37
a)      Nyatakan dua unsur Islam dalam petikan.
b)      Nyatakan dua perwatakan “emak” dalam petikan.

Jawapan : 
a) Unsur Islam - Allah nama Tuhan, kalimah alhamdulillah - ungkapan syukur Islam, konsep qadak dan qadar.
b) Seorang yang yang bersyukur. Seorang yang pasrah.

3. Minggu kedua selepas bercuti panjang, semua murid Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Muzaffar Shah, Lambor Kanan, bersemangat baru. Syarifah Farisya dan Syed Fariz seperti juga murid-murid lain, masing-masing berbasikal untuk ke sekolah. Mereka bertolak seawal-awal 6.45 pagi. Walaupun aktiviti itu begitu baru bagi Syarifah Farisya dan Syed Fariz, namun bagi Syarifah Farisya, dia berasa senang. Meredah kabus dan embun pagi, sesuatu yang menyeronokkannya. Muka surat 47
a)      Nyatakan dua citra masyarakat dalam petikan.
b)      Nyatakan dua latar masa dalam petikan.

Jawapan :

a) Masyarakat yang yang bersemangat. Masyarakat yang mementingkan masa.
b) Waktu pagi. Minggu kedua selepas cuti sekolah.

4.   Azuera tekun dengan buku-buku latihannya. Sejak memperoleh enam ‘A’ tiga ‘B’ dalam Peperiksaan Menengah Rendah tempoh hari, dia semakin bersemangat belajar. Dia mahu menuruti jejak Anuariza yang dicalonkan sebagai tokoh murid dan murid contoh serta murid berakhlak mulia di sekolah itu. Muka 70
a)      Nyatakan dua pengajaran dalam petikan.
b)      Nyatakan dua nilai murni dalam petikan.

Jawapan : 

a) Kita hendaklah mementingkan pelajaran. Kita hendaklah mencontohi kejayaan orang lain.
b) Nilai kegigihan. Nilai berhemah tinggi.

5.  Cikgu Syakinah mengangguk dan tersenyum manis. Guru kaunseling itu terkenal peramah dan bertimbang rasa serta bertindak sebagai pelerai setiap permasalahan yang mengganggu emosi murid di sekolah itu. Dia akan memanggil murid yang telah dikenakan tindakan disiplin, untuk memulihkan semangat mereka. Muka surat 79
a)      Nyatakan dua perwatakan Cikgu Syakinah dalam petikan.
b)      Nyatakan dua peranan Cikgu Syakinah dalam petikan.

Jawapan :

a) Seorang yang peramah. Seorang yang bertimbang rasa.
b) Pelerai masalah pelajar. Pemulih semangat pelajar.

6.  “Berusahalah. Masa depan kita, kita sendiri yang menentukannya. Bukan cikgu, bukan kawan-kawan. Miskin bukan bererti tewas. Semangat dan azamlah, jambatan menuju kejayaan. Benar seperti kata orang tua awak, Azuera dan abangnya orang susah malah anak yatim, tapi mereka berjaya. Kenapa? Kerana azam dan semangat mereka kuat. Mereka memegang prinsip, biar apa orang nak kata, asalkan mereka di pihak yang benar, mereka tidak perlu takut.” Cikgu Syakinah tersenyum lebar. Muka surat 88
a)      Nyatakan dua persoalan dalam petikan.
b)      Nyatakan dua pengajaran dalam petikan.

Jawapan :

a) Persoalan kegigihan dalam mencapai sesuatu. Persoalan kepentingan azam dalam mencapai kejayaan. Persoalan kepentingan prinsip berpegang pada kebenaran.
b) Kita hendaklah gigih berusaha dalam mencapai sesuatu. Kita janganlah lemah semangat walaupun hidup susah/kita orang miskin.


Rabu, 12 Februari 2014

Sajak Duka Tanah

Duka Tanah
kepedihannya menyusur ke dalam
urat-uratnya
seakan di dalam paru-paru
sedang menyeret nanah luka
dan udara hanyir bersembilu tajam.

Menusuk bersama hujan meluncur
ke lembah
mengikis dan mencalar
kian deras pula kulit batu mengelupas
dan pulang ke tanah, mengheret sisa toksik
dengan deru angin gersang lebih keras
mencakar
dan meragut ikatan mesra.

Inilah duka
yang bertambah duka
berdiam pun duka, menggelongsor pun
duka
di dalam sekepal digenggami saraf-saraf
duka.

Dukamu tanah
lukaku juga, namun akan kupulang jua
ke dalam dukamu
kerana ini adalah asalku.

(a)   Jelaskan tema sajak tersebut.                                                                   [4 markah]
(b)   Huraikan empat gaya bahasa berserta contoh.                                         [8 markah]
(c) Cipta sajak bertemakan keindahan alam sekitar.(12-15 baris).                  [8 markah]

a) Kebanyakan pelajar secara spontan terus membuat satu kesimpulan bahawa tema sajak ini ialah pencemaran tanah atau pencemaran alam sekitar. Pencemaran tanah  ialah salah satu persoalan yang terdapat dalam sajak. Untuk menentukan tema sajak, kita perlu melihat persoalan utama. Seawal rangkap pertama sehinggalah akhir sajak, penyair memusatkan isu terbesar ialah perasaan simpati dan kecewa beliau terhadap pencemaran tanah. Beliau bagaikan merasai penderitaan dan kedukaan tanah yang tercemar. Jelasnya, tema sajak ini ialah perasaan sedih/simpati terhadap pencemaran tanah.

b) Gaya bahasa yang lazim sudah tentu ialah asonansi dan aliterasi. Diksi menarik contohnya, dan meragut ikatan mesra. 
Sinkope. Contohnya, kupulang. Inversi. Contohnya, deru angin. Repitisi kata. Contohnya, duka.

c) Salah satu contoh sajak yang sesuai ialah seperti berikut :

sinar suria di pagi hari
beburung berterbangan bebas
langit biru cerah menawan 
kehijauan sekitar indah bagaikan pesona taman
flora dan fauna menceriakan hari-hariku
segalanya tersenyum tenang dalam alunan damai

mungkinkah selamanya begini keindahan alamku
mengapakah ada tangan-tangan yang sanggup mencakar
tercemarnya alam diratah rakus atas nama pembangunan
desa pun kini berubah wajah
sungai pun mengalir lesu kian pupus ikannya

marilah kita genggam sebuah harapan
lestarikan bumi warisan kita
impian bersama seluruh warga dunia.